Padah Provokasi Gajah, Pemandu Didenda RM12,800

15 Nov 2022 • 6:13 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Tindakan seorang pemandu trak pikap yang membuat provokasi terhadap gajah sehingga haiwan itu naik berang dalam kejadian di Thailand baru-baru ini mengundang padah apabila dia didenda RM12,800.

The Thaiger melaporkan, perkara itu diketahui umum selepas saluran Youtube Wild Animals at Khao Yai memuat naik rakaman situasi kejadian yang berlaku di Taman Negara Khao Yai di Nakhon Ratchasima.

Menerusi video itu, pemandu trak pikap terbabit dilihat memandu meluru ke arah gajah dan tidak menunggu seketika untuk memberikan laluan kepada haiwan berkenaan melintas seperti yang disarankan pihak berkuasa.

Bagaimanapun perbuatan pemandu itu mengejutkan gajah tersebut sehingga ia mengeluarkan bunyinya yang agak kuat.

Difahamkan tindakan pemandu itu tidak terhenti di situ, dia kemudiannya memberhentikan kenderaannya dan keluar untuk merakam video gajah berkenaan dengan jarak dekat.

Setelah selesai, pemandu trak pikap itu meneruskan perjalanan selepas berpuas hati dengan gambar dan video yang diambil olehnya.

Video itu menaikkan kemarahan penduduk Thailand dengan menyatakan rasa tidak puas hati terhadap kelakuan yang ditunjukkan oleh pemandu tersebut.

Ramai yang mengecam pemandu pikap itu kerana tindakan provokasinya dan segelintir penduduk turut menyelarnya kerana melanggar undang-undang jalan raya.

Malah ada yang turut berharap gajah itu menyerang pemandu tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Taman Negara Khao Yai, Chaiya Huayhongthong, mendedahkan bahawa tindakan pemandu terbabit melanggar Seksyen 20 Akta Taman Negara, di mana pelawat di taman negara mesti mengikut arahan dan cadangan renjer.

Sekiranya didapati melanggar arahan, pesalah akan dikenakan penalti denda sehingga RM12,800.

Menurut laporan di Saluran 7, pemandu pikap itu telah menyerah diri kepada pihak polis dan membayar denda namun jumlahnya masih belum dilaporkan.

Pengunjung disaran elak buat haiwan marah di Taman Negara

Chaiya memberi amaran kepada pengunjung lain supaya tidak melakukan tindakan jelek seperti itu apabila berhadapan dengan gajah atau mana-mana hidupan liar lain di taman itu.

Beliau turut menyarankan pemandu untuk menjauhkan sekurang-kurangnya 30 meter dari haiwan, elakkan membuat bunyi hon atau bunyi bising, matikan lampu, bergerak ke belakang perlahan-lahan dan jangan cuba menghalau haiwan itu.

Tambahnya, orang ramai boleh meneka emosi yang dialami gajah itu dengan melihat telinga dan ekornya. Jika telinganya mengepak dan ekornya dijulurkan dengan kaku, ini bermakna gajah tidak berada dalam keadaan yang baik.

Sumber: The Thaiger