Padah Pukul Warga Emas, Lelaki Didenda RM5,500 Selepas Mengaku Bersalah

LocalPolitics
10 Feb 2026 • 6:35 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sebelum ini, polis telah menahan seorang lelaki yang dipercayai memukul serta menendang seorang warga emas selepas terlibat dalam kemalangan kecil di Cheras, Kuala Lumpur.

Jelas Ketua Polis Kajang, Nazron Abdul Yusof pesara lelaki berusia, 69, tersebut telah membuat laporan berhubung kemalangan pada 4.49 petang hari sama serta mendakwa diugut oleh suspek di lokasi insiden.

Ekoran itu, polis telah menahan suspek yang berusia 52 tahun di sekitar Kajang pada jam 11.30 malam, 8 Februari.

Lelaki tular pukul warga emas mengaku bersalah dan didenda RM5,500

Terbaharu, hari ini (10 Februari) Mahkamah Majistret Kajang menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM5,500 terhadap lelaki yang tular itu atas dua pertuduhan mencederakan serta mengugut ingin membunuh dalam insiden di Jalan Cheras- Hulu Langat pada 8 Februari lalu.

Majistret Fatin Dayana Jalil membuat keputusan berkenaan selepas lelaki tersebut, Saiful Adli Yusof, 52, mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Jika gagal bayar denda boleh dipenjara selama lapan bulan

Jika lelaki itu gagal membuat pembayaran jumlah denda berkenaan, Saiful boleh dipenjara selama lapan bulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap warga emas, Liew Khoon Foo, 70, dengan menumbuk serta menendang bahagian muka dan badan mangsa.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di Jalan Cheras-Hulu Langat Batu 9 Cheras, jam 4.05 petang pada 8 Februari yang lalu.

Oleh itu, pertuduhan dikemukan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Didakwa takutkan mangsa dengan ugutan menyebabkan kematian ketika insiden berlaku

Saiful yang juga bapa kepada empat orang anak turut didakwa menakutkan secara jenayah ke atas warga emas berkenaan dengan ugutan hendak menyebabkan kematian di tempat kejadian waktu sama, di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum selama dua tahun atau denda dan kedua-duanya.

Sebelum ini Timbalan Pendakwah Raya, Aida Afiqah Shaari memohon hukuman yang setimpal untuk beri pengajaran kepada tertuduh serta masyarakat.

Peguam Muhammad Syakir Hazna, yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon hukuman denda yang minimum.

Peguam wakili tertuduh minta hukuman denda yang minimum kerana pencari nafkah tunggal

“Anak guam adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarga serta perlu menanggung isteri dan empat anak berusia antara 16 tahun hingga enam hari selain menanggung ibu mentua yang menghidap penyakit kronik.

“Semasa kejadian, anak guam bersama isteri dan anaknya berusia tiga hari. Anak guam serta isterinya berasa terkejut dan terkilan apabila kejadian itu berlaku. Anak guam telah insaf atas perbuatannya itu dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi,” katanya, lapor Kosmo.

Tahan mangsa di lampu isyarat lepas kemalangan

Berdasarkan fakta kes, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Wira sudah terbabit dalam kemalangan dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire di Jalan Cheras-Hulu Langat.

Warga emas itu lalu mengambil keputusan meneruskan perjalanan ke Taman Suntex akibat takut, tertuduh lalu mengekori mangsa daripada belakang.

Saiful kemudiannya menahan kereta mangsa di lampu isyarat sebelum bertindak menendang kereta mangsa hingga mengundang ketakutan pada warga emas itu.

Sebaik mangsa keluar dari keretanya, tertuduh bertindak menumbuk dan menendang mangsa. Mangsa kemudian mengalami kecederaan di bahagian muka, mata lebam, dagu bengkak dan lidah berdarah.