SHAH ALAM – Tindakan seorang lelaki dan rakan wanitanya menyembunyikan kelahiran dengan menguburkan mayat bayi di tanah perkuburan Islam Seksyen 21, bulan lalu mengundang padah apabila mereka didenda masing-masing RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Nur Atisha Balqis Ismail, 22, dan buruh, Muhamad Razi, 26, dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Wan Noora Nisa Ngadirin.
Mahkamah memerintahkan mereka dipenjara selama sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyembunyikan kelahiran dengan cara menguburkan mayat bayi yang telah meninggal dunia, sama ada sebelum, semasa atau selepas dilahirkan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, jam 7 petang 17 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam, Hazwan Hassan yang mewakili Mohamad berkata, anak guamnya tidak berniat untuk menyembunyikan bayi tersebut.
“Bayi itu telah meninggal, maka dia mengebumikannya di tanah perkuburan itu.
“Susulan itu, saya mohon dia dikenakan hukuman denda sahaja kerana mengaku insaf,” katanya.
Sementara, peguam, Muhamad Saifullah yang mewakili Nur Atisha berkata, anak guamnya merupakan pesalah muda dan kes ini merupakan kesalahan pertamanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Amirah Zahari mencadangkan mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

