SEREMBAN - Empat individu termasuk tiga warga Myanmar dengan salah seorang lelaki bawah umur didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas pertuduhan memiliki barang kawalan iaitu 4,705 kilogram (kg) minyak masak tanpa lesen sah.
Bagaimanapun, hanya tertuduh Chong Sze Thong, 52 yang merupakan warga tempatan membuat pengakuan tidak bersalah di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam selepas pertuduhan dibacakan.
Bagi tiga lagi tertuduh iaitu Thung Khaw, 27; Moe Myint Weh Yan, 17 dan tertuduh wanita, Nan Thet Khin, 32, tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama memiliki barang kawalan yang juga barang berjadual iaitu 4,705kg minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Ia melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Perbuatan berkenaan dilakukan kira-kira jam 12.15 tengah hari di premis di Kampung Baru Mantin pada 7 April lalu.
Jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya, denda maksimum RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Azmil Aspara mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh warga tempatan.
Peguamnya, Mohd Amin Arsan memohon wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan alasan anak guamnya bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM3,000 hingga RM3,500 sebulan.
Tambahnya, anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak yang masih bersekolah serta menanggung ibu serta ibu saudara yang sudah uzur.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan syarat menyerahkan pasport, melapor diri di pejabat KPDN terdekat setiap bulan dan tidak mengganggu saksi sama ada secara sendiri atau melalui pihak ketiga.
Bagi tiga lagi tertuduh termasuk suami isteri, mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan.
Sebutan semula kes ditetapkan 27 April depan untuk serahan dokumen dan laporan kimia terhadap Sze Thong serta sebutan semula untuk jurubahasa Myanmar bagi tiga tertuduh warga asing.

