Padah Sindir Suami Di Media Sosial, Wanita Dipaksa Mohon Maaf 15 Hari Berturut-Turut

LocalPolitics
26 Jan 2026 • 9:28 AM MYT
The Malaysian Update
The Malaysian Update

Portal berita pilihan anda untuk isu semasa, politik, hiburan, & banyak lagi

image is not available

BEIJING – Padah memuat naik hantaran berbaur sindiran dan pendedahan peribadi mengenai suami di media sosial, seorang wanita di China diarahkan mahkamah memohon maaf secara terbuka selama 15 hari berturut-turut.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati beberapa perkongsian wanita berkenaan telah mencemarkan reputasi suaminya sehingga menimbulkan kontroversi besar dalam talian.

Difahamkan, wanita tersebut sebelum ini menuduh suaminya berlaku curang dan menjalinkan hubungan sulit.

Bukan sekadar dakwaan, dia turut mendedahkan maklumat sensitif termasuk tempat kerja serta kehidupan peribadi lelaki itu kepada umum.

Menurut laporan South China Morning Post, wanita dikenali sebagai Niu Na dari wilayah Henan diarahkan memadam semua hantaran berkaitan serta menerbitkan permohonan maaf di internet.

Lebih tegas, kandungan permohonan maaf itu juga perlu melalui semakan mahkamah sebelum disiarkan.

Mahkamah menegaskan bahawa walaupun berlaku salah laku peribadi dalam rumah tangga, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk memalukan atau menjatuhkan reputasi seseorang secara terbuka di media sosial.

Isu Tular, Majikan Turut Ambil Tindakan

Kisah tersebut kemudian tular di platform media sosial China dengan video permohonan maaf wanita itu menjadi perhatian ramai netizen.

Dalam masa sama, laporan Global Times menyatakan kontroversi berkenaan turut memberi kesan kepada kerjaya suaminya apabila majikannya bertindak menggantung tugas lelaki itu susulan tekanan dan kecaman awam.

Kes berkenaan sekali lagi mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan masyarakat China mengenai batas pendedahan peribadi di media sosial serta implikasi undang-undang terhadap pencemaran nama baik. – The Malaysian Update

The post Padah Sindir Suami Di Media Sosial, Wanita Dipaksa Mohon Maaf 15 Hari Berturut-Turut appeared first on The Malaysian Update.