Padah Ubahsuai Kereta Menyerupai Kenderaan Polis, Pemilik Ditahan

3 Jul 2022 • 9:04 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Kereta jenis Nissan Skyline R32 yang dipasang dengan lambang dan corak menyamai kenderaan polis telah dirampas dan pemiliknya ditahan semalam - Gambar ihsan PDRM

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang peniaga mengubahsuai keretanya menyerupai kenderaan polis mengundang padah, apabila dia ditahan ketika menyertai pameran automotif di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang, semalam.

Bukan sahaja ditahan, kereta jenis Nissan Skyline R32 milik suspek yang dipasang dengan lambang dan corak menyamai kenderaan polis, dirampas.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, lelaki berumur 43 tahun yang berniaga aksesori kenderaan, ditahan pada jam 10.30 malam selepas kereta terbabit tular di aplikasi TikTok.

Beliau berkata, peniaga tersebut ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang selepas pihaknya  melakukan pemerhatian di pusat pameran berkenaan.

image is not available
Pemilik kenderaan ini ditahan pada jam 10.30 malam selepas kereta terbabit tular di aplikasi TikTok

“Kenderaan terbabit mempunyai cukai jalan lengkap dan digunakan pemiliknya.

“Pemilik kenderaan sudah dibebaskan pada jam 12 tengah malam tadi dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 kerana memiliki barangan dibekalkan kepada pihak polis untuk melaksanakan tugas,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Unit Perhubungan Awam Bukit Aman mengesan satu rakaman video tular di TikTok memaparkan kenderaan pameran di MAEPS Serdang menyerupai kenderaan polis. - Getaran, 3 Julai 2022