PADU: Ini cara mendaftar akaun baru PADU

2 Jan 2024 • 6:48 PM MYT
SoyaCincau
SoyaCincau

For everything that matters in tech

image is not available

Platform Pangkalan Data Utama (PADU) telah dilancar hari ini dan orang ramai boleh mula mendaftar akaun PADU secara atas talian sekarang. PADU merupakan pangkalan data yang mengandungi profil penduduk warganegara dan pemastautin tetap (PR) di Malaysia bagi membantu kerajaan dalam melaksanakan dasar secara bersasar.

Rakyat Malaysia digalakkan untuk menyemak maklumat mereka melalui PADU supaya mereka tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan atau perlindungan sosial sekiranya layak. Kerajaan memberi tempoh sehingga akhir Mac 2024 untuk warga Malaysia memastikan maklumat mereka termasuk pendapatan adalah lengkap dan terkini sebelum subsidi bersasar mula dilaksanakan.

Cara mendaftar akaun baru PADU

image is not available
Pendaftaran akaun PADU

Ini adalah cara-cara untuk mendaftar akaun baru PADU:

  1. Pergi ke laman web PADU dan tekan pada butang DAFTAR SEKARANG.
  2. Isi nama penuh, nombor kad pengenalan dan poskod serupa seperti di dalam kad pengenalan.
  3. Isi nombor telefon terkini yang aktif, serta alamat emel.
  4. OTP (one-time password) 6-angka akan dihantar ke nombor tersebut telefon tersebut. Masukkan OTP tersebut di laman web PADU untuk meneruskan.
  5. Cipta kata laluan untuk akaun baru PADU anda. Ia mestilah sekurang-kurangnya 8 karakter yang mengandungi gabungan huruf besar, huruf kecil, nombor dan karakter unik (cth: @%$!?&).

Cara melengkapkan proses pengesahan eKYC di PADU

Langkah terakhir untuk mendaftar akaun baru di PADU adalah pengesahan eKYC (electronic Know Your Customer) bagi mengesahkan identiti pengguna. Untuk langkah ini, anda memerlukan telefon pintar dan kad pengenalan MyKad bersama.

Laman web PADU akan mencipta kod QR dinamik yang boleh diimbas melalui telefon pintar. Imbasan di telefon pintar ini akan membuka laman Pengesahan Identiti PADU.

image is not available
Pendaftaran memerlukan pengguna mengambil gambar MyKad dan swafoto

Proses eKYC ini memerlukan anda mengambil gambar depan dan belakang MyKad. Pastikan semua maklumat di MyKad iaitu nama, nombor dan alamat dapat dilihat dengan jelas serta tiada pantulan cahaya.

image is not available
Pastikan persekitaran cerah dan gambar diambil jelas dan tajam

Langkah terakhir adalah mengambil gambar muka sendiri (swafoto) dan pastikan muka anda di dalam garis titik. Selepas itu, gambar-gambar ini akan dihantar untuk pengesahan dan dinyatakan semakan dilakukan dalam tempoh 3 hari. Penggna akan dimaklumkan semula melalui SMS dan emel.

image is not available
Pengesahan eKYC mengambil masa 3 hari tetapi ia lulus hampir serta-merta

Dari pengalaman kami, proses eKYC ini diluluskan hampir serta-merta dan notis diterima melalui SMS dan emel. Keseluruhan proses pendaftaran PADU termasuk eKYC, mengambil masa kurang daripada 10 minit.

Perkara perlu diambil perhatian

Laman web PADU dilihat dikunci secara lokasi kepada IP dari Malaysia sahaja. Jika anda menggunakan VPN, anda perlu mematikannya untuk masuk ke laman web PADU.

Jika anda berhadapan masalah semasa mengambil gambar untuk eKYC, anda boleh cuba menukar kamera menggunakan butang “Tukar Lensa” di sudut atas kiri. Ia boleh menukar antara kamera utama, kamera ultralebar, kamera telefoto dan kamera hadapan.

Semasa mendaftar hari ini, kelihatan hampir tiada maklumat terdapat di dalam platform PADU, selain nama penuh dan alamat. Adakah PADU mengambil masa lagi untuk memaparkan maklumat penuh pengguna daripada pangkalan data jabatan berlainan?

image is not available
Jangan terkejut jika laman web tergantung kerana jumlah trafik yang tinggi

Bacaan Berkaitan