
SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) tampil membuat penjelasan bahawa penutupan pagar setiap balai polis selepas jam 10 malam tidak akan dilakukan sepenuhnya tetapi hanya untuk langkah kawalan.
Menerusi satu kenyataan KDN berkata, orang ramai masih dibenarkan untuk membuat laporan polis dan tiada sebarang halangan dilakukan.
"Tentunya tidak munasabah apabila kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ditafsir sebagai 'tutup pagar' secara keseluruhan sedangkan pihak polis bertanggungjawab untuk mengawal keselamatan dan ketenteraman awam.
"Kenyataan beliau secara prinsipnya merujuk garis panduan dan langkah berjaga-jaga bagi balai yang berada dalam kategori berisiko terhadap ancaman," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, pintu pagar balai polis di seluruh negara akan ditutup selepas jam 10 malam sebagai langkah untuk memperketatkan keselamatan di premis berkenaan susulan insiden di Balai Polis Ulu Tiram, Johor baru-baru ini.
Menurut Saifuddin, langkah itu diambil sebagai mengimbangi keperluan untuk masyarakat dan menjaga keselamatan anggota yang bertugas.
Mengulas lanjut kenyataan itu berkata, pihak media digesa untuk memperbaiki laporan berita yang dikeluarkan dan tidak menjurus kepada maksud sebenar daripada ucapan Saifuddin di Dewan Rakyat.
Ujarnya, kesilapan laporan berita menimbulkan salah faham orang ramai terhadap Menteri KDN termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan ia perlu diperbetulkan dengan segera.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

