Pada tahun 1894, seekor gajah mati digilis sebuah kereta api di Sungai Kerawai, Teluk Intan. Ia adalah insiden pertama melibatkan konflik manusia dan haiwan (HEC) direkodkan dalam sejarah dan papan tanda tragedi ini masih dapat dilihat. Walaupun lebih 130 tahun telah berlalu, insiden kematian hidupan liar yang digilis kenderaan manusia masih berlaku. Tahun ini negara dikejutkan apabila seekor anak gajah mati terperosok di bawah lori dengan ibu menangis hiba dengan gambar dikongsi ke seluruh sudut media sosial.

Dalam diam, penyelidik dari Pusat Pemodelan dan Pemantauan Infrastruktur Pintar (SIMM) di bawah Institut Kehidupan Pintar dan Lestari (ISSL) Universiti Teknologi Petronas dengan kerjasama Jabatan Perhilitan membangunkan pagar ELEFence bagi mengelakkan insiden cukup tragis ini daripada berulang.
Kajian mendapati gajah adalah haiwan yang bijak. Ia boleh menggunakan batang pokok untuk merobohkan pagar biasa yang dipasang bagi menghalang pergerakan dan pencerobohan mereka ke kawasan penempatan manusia. Solusi lain yang digunakan seperti pagar elektrik di Kenya dan Indonesia pula mencederakan gajah serta boleh menyebabkan kematian yang boleh dielakkan.

Dalam projek rintis di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah pada tahun 2021, ELEFence sepanjang 35 meter yang dipasang lulus dalam semua ujian yang dilakukan. Kerana rekaan tahan lasak ELEFence, walaupun batang pokok dijatuhkan ke atasnya oleh gajah, ia tidak roboh dan lebih penting ialah pagar ini juga dapat menghalang pergerakan anak gajah.
Dengan kejayaan ujian di dunia sebenar, ELEFence sepanjang 7km akan dipasang di beberapa seksyen laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berhampiran hutan simpan Kemasul, Pahang. Ia kini dalam fasa rekaan untuk dipasang di pusat konservasi gajah yang terletak di Johor dan Perak.



