Pagar punca sampah parit lambat dibersihkan

LocalEnvironment
15 Oct 2026 • 1:30 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Pagar punca sampah parit lambat dibersihkan

KLANG – Pagar yang menghalang kemasukan jentera dikenal pasti antara kekangan kerja pembersihan parit besar di Bandar Sultan Suleiman di sini.

Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) berkata, kerja pembersihan secara manual oleh kontraktor yang dilantik telah dimulakan sejak 8 Oktober lalu susulan aduan orang ramai di media sosial.

Bagaimanapun katanya, kerja pembersihan menggunakan mesin berdepan kekangan apabila struktur fizikal kawasan longkang yang berpagar menyukarkan jentera memasuki lokasi berkenaan.

“Justeru, Jabatan Perkhidmatan Persekitaran MBDK mengarahkan kontraktor membuka pagar berkenaan buat sementara waktu bagi membolehkan jentera memasuki kawasan itu untuk menjalankan kerja pembersihan menyeluruh dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MBDK memaklumkan, kerja pembersihan parit besar dilaksanakan empat kali setahun mengikut jadual ditetapkan, iaitu dari Jun hingga Ogos, September hingga Oktober, November hingga Disember serta Januari hingga Februari tahun depan.

“Sisa botol-botol plastik telah dibersihkan dengan kerja-kerja mendapan lumpur sedang dilaksanakan.

“Kita meminta orang ramai supaya tidak membuang sampah merata-rata dan tidak membuang ke dalam longkang supaya alam sekeliling dapat dipelihara,” katanya.

Jelasnya, penduduk disarankan untuk menyalurkan sebarang aduan rasmi terus melalui saluran aduan MBDK (SISPAA) agar tindakan susulan yang lebih pantas dapat diselaraskan.

Terdahulu, hantaran mengenai masalah sampah yang dimuat naik pengguna aplikasi Threads, Snehhasnehraa, mendapat maklum balas daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang meminta aduan disalurkan menerusi saluran rasmi MBDK.

Amirudin turut meminta MBDK menyemak lokasi dalam gambar, mengenal pasti punca longkang dipenuhi sampah serta memaklumkan tindakan pembersihan yang akan dilaksanakan sekiranya masalah itu masih berlarutan. – KOSMO! ONLINE

The post Pagar punca sampah parit lambat dibersihkan appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved