liza20/11/2026 - 12:32 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov – Kerajaan Pahang terbuka kepada cadangan pelaksanaan projek penyelidikan solar terapung luar pesisir berkapasiti 780 kilowatt (kW) di Pulau Tioman, namun menegaskan aspek pemeliharaan alam sekitar marin perlu diberi keutamaan sebelum projek itu dilaksanakan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, tapak cadangan projek itu perlu dinilai secara menyeluruh bagi memastikan pemasangan sistem solar berkenaan tidak menjejaskan landskap pesisir pantai, ekosistem marin, terumbu karang, hidupan laut serta keselamatan pelancong.
Beliau berkata, kerajaan negeri menyokong inisiatif berkenaan sebagai sebahagian usaha memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dan menjadikan Pulau Tioman sebagai pulau berasaskan tenaga hijau.
“Kajian berkenaan dijalankan bagi meneroka sumber alternatif penjanaan elektrik untuk Pulau Tioman yang ketika ini masih bergantung kepada penjanaan tenaga menggunakan diesel.
“Bagaimanapun, aspek penyelenggaraan jangka panjang turut perlu diberi perhatian bagi memastikan projek itu tidak memberikan kesan buruk terhadap alam sekitar serta imej pelancongan pulau berkenaan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Seri Mohd Johari Hussain, berhubung perkembangan cadangan projek berkenaan serta pendirian kerajaan negeri terhadap pelaksanaannya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini.
Projek penyelidikan solar terapung luar pesisir berkapasiti 780kW itu dicadangkan oleh Tenaga Nasional Berhad Research (TNB Research) dengan kerjasama SolarDuck dan Hydro.
Kajian berkenaan bertujuan menilai kebolehlaksanaan teknologi solar terapung luar pesisir di Malaysia dari sudut teknikal dan ekonomi.
Tertakluk kelulusan pihak berkuasa
Menurut Wan Rosdy, cadangan projek itu telah diteliti oleh Jawatankuasa Teknikal Sumber Air dan Tenaga.
Bagaimanapun, memandangkan lokasi cadangan terletak dalam kawasan taman laut yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 serta kawasan yang diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, projek itu perlu mendapatkan kelulusan sewajarnya dan mematuhi keperluan teknikal serta perundangan yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.
Menjawab soalan tambahan Mohd Johari mengenai kemungkinan projek itu menggantikan penjanaan elektrik menggunakan diesel, Wan Rosdy menjelaskan inisiatif berkenaan hanya bertujuan mengurangkan kebergantungan Pulau Tioman terhadap sumber tenaga tersebut, bukannya menggantikannya sepenuhnya.
"Kita hanya mahu mengurangkan kebergantungan terhadap diesel, bukan menggantikannya. Kita perlu mematuhi undang-undang sedia ada dan tidak mahu menjejaskan pulau yang merupakan antara destinasi paling indah di dunia.
"Pemuliharaan alam sekitar dan perlindungan taman laut yang telah diwartakan perlu diambil kira. Kita bersedia meneruskan projek ini berdasarkan dapatan laporan teknikal," katanya. - DagangNews.com


