Pahang peruntuk RM160,000 bantuan kepada pemandu bot pelancong, malim gunung

14 Dec 2023 • 4:32 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUANTAN: Kerajaan Pahang memperuntukkan RM160,000 menerusi Bantuan Prihatin Pahang kepada 800 pemandu bot pelancong dan malim gunung di negeri ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Leong Yu Man (gambar).

Beliau berkata setiap individu akan menerima bantuan RM200 bagi membantu meringankan beban berikutan kekangan untuk menjalankan aktiviti pada musim tengkujuh.

“Bantuan ini antara lain sebagai tanda penghargaan kepada pemain industri pelancongan di negeri ini dan prihatin kerajaan negeri kepada mereka.

“Mereka juga antara penyumbang kepada sektor pelancongan Pahang dan menjalin kerjasama yang baik dengan kerajaan negeri,“ katanya pada sidang media selepas menyerahkan bantuan berkenaan kepada 91 penerima bagi daerah Kuantan di Pejabat Tourism Pahang di sini hari ini.

Lebih istimewa, menurut Leong kesemua pemain industri berkenaan kini mendapat perlindungan insurans kelompok bernilai hingga RM100,000 setahun bermula tahun ini secara automatik.

Kad perlindungan insurans berkelompok itu dilancarkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini yang memberi manfaat RM100,000 untuk kematian dan hilang upaya kekal akibat kemalangan, perbelanjaan perubatan akibat kemalangan (RM2,500), pendapatan hospital akibat kemalangan hingga 30 hari (RM50 sehari) dan perbelanjaan penghantaran pulang (RM5,000).

Sementara itu, Leong berkata Pahang merekodkan kedatangan lebih sembilan juta pelancong domestik dan antarabangsa setakat September lepas, dan kerajaan negeri optimis sasaran 13 juta pelancong akan dicapai menjelang akhir bulan ini.

Mengulas mengenai usaha kerajaan negeri untuk berhubung dengan pencipta animasi Jepun popular, Jujutsu Kaisen bagi merancakkan lagi sektor pelancongan negeri ini, beliau berkata wakil Tourism Malaysia di Tokyo telah berjumpa dengan pihak penerbit pada Isnin lepas.

“Pada perjumpaan itu kita turut mengemukakan cadangan antaranya memorial dan menjemput pencipta anime (animasi Jepun) melawat Pahang... pihak penerbit perlu mendapatkan kebenaran daripada pencipta dan mereka mengatakan akan memberi maklum balas dalam tempoh seminggu,“ katanya.

Kerajaan Pahang sebelum ini dilaporkan sedang berusaha menghubungi pencipta anime itu susulan ada peminat yang mencadangkan memorial dibina di pantai Kuantan berikutan daerah itu menjadi sohor menerusi media sosial selepas disebut di dalam siri berkenaan. -Bernama