Pahang rancang bina stesen pengecas EV di setiap daerah

LocalTechnology
7 Dec 2024 • 3:41 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PEKAN: Kerajaan Pahang dengan kerjasama Volt Industries Sdn Bhd merancang membina stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di setiap daerah negeri ini menerusi pelaburan yang dianggarkan RM250 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohamad Nizar Najib berkata Bentong dipilih sebagai lokasi perintis bagi pembinaan stesen pengecas pertama manakala satu lagi stesen dijangka dibina di Gambang, Kuantan.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu sebanyak 50 stesen berkenaan akan dibangunkan antara lain bertujuan mempercepat penubuhan infrastruktur bagi menyokong penggunaan EV.

Beliau berkata perbincangan awal dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diadakan untuk mengenal pasti lokasi yang bersesuaian bagi pembangunan stesen pengecas berkenaan.

“Bagi saya, kita perlu seiring antara pembangunan infrastruktur dan jumlah kenderaan elektrik di jalan raya. Hasrat kita adalah untuk memastikan stesen pengecas ini dibangunkan di seluruh Pahang, terutamanya di kawasan yang menjadi tumpuan pelancong seperti Cameron Highlands dan Taman Negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Buku Pekan yang julung kali diadakan di daerah itu dan berlangsung selama dua hari bermula hari ini di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah.

Setakat ini, Volt Industries memperkenalkan tiga reka bentuk stesen berbeza iaitu Volt Mega Station dengan 50 port pengecas, Volt Station 12 port pengecas dan Volt Express (dua port pengecas) untuk dibangunkan bergantung kepada kesesuaian kawasan.

Mengulas lanjut, Mohamad Nizar berkata lebih banyak infrastruktur pengecas EV akan mendorong lebih ramai rakyat Pahang beralih kepada penggunaan kenderaan elektrik sekali gus menyokong usaha negara untuk mengurangkan pengeluaran karbon menjelang 2050.

Beliau berkata dengan pembinaan itu juga dapat mengurangkan kebimbangan pengguna EV terutama pelancongan yang datang ke Pahang antaranya dari Singapura.