Pahang sasar 90% masalah bekalan air selesai menjelang akhir 2026

25/09/2025 - 18:11
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 25 Sept – Pahang menyasarkan 90 peratus masalah bekalan air di seluruh negeri itu dapat diselesaikan menjelang penghujung 2026.
Kerajaan negeri optimis dapat mencapai sasaran itu dengan beberapa langkah strategik yang dilaksanakan beberapa tahun sebelum ini termasuk siapnya Loji Rawatan Air (LRA) Semantan di Raub.
Loji itu diserahkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pahang kepada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam satu majlis rasmi baru-baru ini.
Dengan siapnya LRA Semantan, kira-kira 8,000 pemegang akaun di Raub bakal menerima bekalan air bersih secara konsisten, menyelesaikan hampir 85 peratus isu bekalan air di daerah itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek itu adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan negeri untuk memperkukuh perkhidmatan asas dan meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui program Aspirasi Pahang 1st.
“Saya berharap rakyat Pahang terus memberi kepercayaan kepada kerajaan negeri untuk meneruskan agenda pembangunan untuk hidup lebih sejahtera,” katanya.
Isu bekalan air di Raub sebelum ini sering menjejaskan aktiviti harian penduduk dan perniagaan, termasuk gangguan dalam sektor industri dan perkhidmatan.
Kekurangan bekalan air bersih juga menimbulkan cabaran kepada kebersihan dan kesihatan awam.
Dengan siapnya Loji Rawatan Air Semantan itu, ia bukan sahaja menstabilkan bekalan air tetapi juga meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pembangunan di daerah Raub.- DagangNews.com
standard





