Pahang tarik pelaburan RM20.5 bilion, lepasi sasaran tahun ini: MB

2 Aug 2022 • 3:10 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUANTAN: Kerajaan Negeri Pahang berjaya menarik pelaburan sebanyak RM20.5 bilion setakat 31 Julai lepas, melepasi sasaran RM18 bilion yang ditetapkan pada tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail(gambar).

Daripada jumlah itu, RM11 bilion adalah pelaburan asing dan bakinya adalah pelaburan domestik, yang mana Wan Rosdy menyifatkan kestabilan politik dan pembangunan infrastruktur di negeri ini berjaya menarik minat pelabur untuk menanam modal di Pahang.

Selain itu, Wan Rosdy juga optimis sasaran kutipan hasil sebanyak RM1 bilion pada tahun ini juga dapat dicapai berdasarkan kutipan hasil sebanyak RM841 juta yang berjaya diperoleh setakat 27 Julai lepas..

“Kutipan hasil ini tidak pernah sesekali membebankan rakyat. Sebaliknya kerajaan negeri berjaya meningkatkan kutipan ini berdasarkan tindakan seperti meningkatkan kecekapan pentadbiran, mengurangkan ketirisan dan melaksanakan inisiatif yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.

Lebihan hasil ini dipulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk sumbangan, bantuan kebajikan dan program seperti pendidikan dan pembangunan yang dihulurkan kepada setiap lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang mahupun fahaman politik,“ katanya.

Wan Rosdy berkata demikian dalam Ucapan Penangguhan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Berhubung hutang kerajaan negeri kepada Kerajaan Persekutuan, Wan Rosdy berkata ia berbaki sebanyak RM908 juta setakat ini, selepas RM1.307 bilion telah dipersetujui dihapus kira manakala RM1.115 bilion lagi dinovasikan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Prestasi baik dan kedudukan kukuh kewangan kerajaan negeri itu, kata Wan Rosdy adalah berkat kerjasama semua pihak khususnya jentera kerajaan negeri bersama agensi berkaitan.

Pada ucapan itu, Wan Rosdy juga menyeru rakyat Pahang untuk turut sama menyemarakkan Bulan Kemerdekaan Negara termasuk dengan mengibarkan Jalur Gemilang serta bendera negeri di rumah dan premis kerajaan serta swasta, bagi menyemai semangat patriotik sepanjang Bulan Kemerdekaan tahun ini.

Persidangan bersambung pada tarikh ditentukan kelak. -Bernama