Pahang ungguli pasaran kerja

LocalBusiness & Finance
3 Aug 2026 • 12:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pahang ungguli pasaran kerja
Khairul Firdaus (kiri) dan Ahmad Farhan (dua dari kiri) beramah mesra dengan pencari kerja pada Karnival MYFutureJobs Indera Mahkota di SASICC, Kuantan pada Ahad.
Image from: Pahang ungguli pasaran kerja
Khairul Firdaus (empat dari kiri) dan Ahmad Farhan (tiga dari kanan) melancarkan Karnival MYFutureJobs Indera Mahkota di SSASICC, di Kuantan pada Ahad.
Image from: Pahang ungguli pasaran kerja
Orang ramai yang hadir selepas melancarkan Karnival MYFutureJobs Indera Mahkota di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC) di sini pada Ahad. Foto Sinar Harian

**media[3603775]**

KUANTAN – Pahang mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh sebanyak 65.3 peratus, tertinggi di Pantai Timur, manakala kadar pengangguran kekal rendah pada 1.9 peratus bagi suku pertama 2026.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Akhbar Firdaus Khan berkata, pencapaian itu menunjukkan perkembangan positif dalam pasaran buruh negeri selain peningkatan penyertaan rakyat dalam aktiviti ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, cabaran pasaran pekerjaan kini bukan lagi sekadar menyediakan peluang kerja, sebaliknya memastikan tenaga kerja memiliki kemahiran yang memenuhi keperluan industri.

“Pelaksanaan program MYFutureJobs bertujuan memberikan pulangan yang baik kepada golongan muda dengan memastikan mereka memperoleh peluang pekerjaan melalui kaedah terbaik yang diiktiraf kerajaan.

“Paling penting, MYFutureJobs bukan sekadar menyediakan peluang pekerjaan, malah turut menawarkan latihan yang bersesuaian dengan permintaan industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Karnival MYFutureJobs Indera Mahkota di Sultan Ahmad Shah International Convention Centre (SASICC), di sini, pada Ahad.

**media[3603771]**

Karnival berkenaan dianjurkan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Dalam program sama, Khairul Akhbar turut menyempurnakan pelancaran Sahabat Madani bersama Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.

Menerusi program itu, Khairul Akhbar berkata, sebanyak 6,000 peluang pekerjaan disediakan sebagai usaha membantu pencari kerja memperoleh pekerjaan yang bersesuaian.

Menurutnya, MYFutureJobs turut disokong melalui penyediaan latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula yang disesuaikan dengan keperluan industri.

“Tidak banyak negara di luar sana yang menyediakan peluang sebegini.

“Ini merupakan antara gerakan lapangan bagi memastikan tiada pengangguran yang ketara berlaku di negara kita, khususnya di Pahang,” katanya.

**media[3603772]**

Beliau berkata, latihan yang disediakan perlu benar-benar memenuhi keperluan industri supaya memberi manfaat kepada tenaga kerja.

“Tanpa memahami keperluan industri, latihan itu hanyalah sekadar latihan yang syok sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Farhan berkata, Sahabat Madani merupakan inisiatif bagi memperkukuh semangat kebersamaan, kesukarelawanan dan keprihatinan sosial dalam kalangan rakyat, khususnya golongan belia.

Menurutnya, gerakan komuniti itu bertujuan menyampaikan aspirasi kerajaan Madani selain mengenal pasti keperluan masyarakat di peringkat akar umbi.

“Dalam masa sama, kita mahu membudayakan semangat saling membantu, menyantuni mereka yang memerlukan, meningkatkan taraf hidup masyarakat serta memperkukuh perpaduan tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang,” katanya.

Beliau berkata, sasaran penyertaan 2,000 Sahabat Madani Pahang berjaya dicapai, namun usaha menarik lebih ramai anak muda menyertai gerakan berkenaan akan diteruskan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved