
Pemberontakan Aki Si Gunting, Aki Simbarrang, Aki Togallen dan Aki Tampuhim di Kota Belud
Pahlawan Dusun Berani Yang Tidak Didendangkan, Ketahui Perjuangan 4 Aki Di Kota Belud. Sejarah Sabah penuh dengan kisah keberanian yang jarang didendangkan. Salah satunya ialah perjuangan para pahlawan Dusun dari Kampung Sayap, Kota Belud pada tahun 1894.
Nama-nama seperti Aki Simbarrang, Aki Togallen, dan Aki Tampuhim mungkin tidak dikenali ramai, tetapi mereka adalah antara wira yang menentang pentadbiran Kompeni British North Borneo (BNBC) demi mempertahankan tanah air mereka.

Permulaan Pemberontakan di Kampung Sayap Pohon
Pada bulan Mei 1894, beberapa pemimpin tempatan termasuk Aki Simbarrang, Aki Togallen, Aki Tampuhim dari Kampung Sayap serta Aki Si Gunting dari Kota Marudu telah berkumpul di Kadamaian. Mereka merancang untuk menyerang pejabat pentadbiran Kompeni di Abai, Kota Belud selepas berjaya menyerang pejabat di Mumus.
Namun, usaha mereka tidak mendapat sokongan penuh dari suku Dusun Kadamaian. Penduduk setempat mengambil keputusan untuk tidak menyertai pemberontakan dan melaporkan rancangan ini kepada Ketua Masyarakat Tempasuk dan pihak polis.
Si Gunting: Pahlawan Berpengaruh dari Suku Dusun Liwan
Dalam catatan British, Si Gunting dikenali sebagai pemimpin Dusun terkemuka di Kota Marudu. Namun, menurut keturunan beliau, Si Gunting sebenarnya berasal dari suku Dusun Liwan, bukan dari suku Rungus seperti yang sering disalah anggap.
Beberapa sumber menyatakan bahawa asal usul beliau adalah dari Tambunan, sebelum berhijrah ke daerah lain, kemudian ke Kota Marudu. Ada juga keturunan beliau yang percaya bahawa Si Gunting berasal dari Ranau sebelum menetap di Kota Marudu.
Pergerakan penentangan beliau meliputi Kota Marudu, Kota Belud, dan Ranau, menunjukkan betapa besar pengaruhnya di kalangan suku Dusun pedalaman.
Menurut satu catatan, pemberontakan Si Gunting terhadap British juga berpunca daripada kejadian di mana seorang pegawai British cuba mengambil seorang gadis Dusun dari suku Rungus tanpa mengikut adat istiadat yang berlaku di kawasan kekuasaannya. Tindakan ini mencetuskan kemarahan Si Gunting dan mendorong beliau untuk bangkit menentang penjajah.

Tindakan Balas Kompeni British
Mendapat khabar tentang pemberontakan yang bakal berlaku, Tuan Ormsby, seorang pegawai Kompeni, segera mengumpulkan 40 orang suku Bajau sebagai anggota polis khas. Beliau bergerak ke Bidahan dan mengarahkan penduduk Lenass, Kalamuan dan Sayap Pohon untuk berjumpa dengannya.
Penduduk Lenass dan Kalamuan memilih untuk bersumpah taat setia kepada Kompeni, dan mereka juga mendedahkan bahawa pemberontakan di Kampung Sayap Pohon diketuai oleh Aki Si Gunting dengan bantuan Aki Simbarrang, Aki Togallen, dan Aki Tampuhim.
Sebagai langkah strategik, Aki Sagong dilantik sebagai Ketua Masyarakat baharu, menggantikan Aki Si Gunting.
Serangan Ke Atas Kampung Sayap Pohon
Selepas menerima laporan tentang kubu kuat pemberontak di Kampung Sayap Pohon, Tuan Ormsby memberi tempoh lima hari kepada penduduk untuk menyerah diri. Jika tidak, kampung mereka akan diserang oleh pihak polis.
Pada 2 Jun 1894, Kapten Barnett tiba di Bidahan bersama pasukan polis dan bersiap sedia untuk menyerang. Pada keesokan harinya, serangan bermula pada jam 6.30 pagi.
Kubu Kampung Sayap Pohon terletak di atas bukit setinggi 200 kaki dan dikelilingi oleh sungai, menjadikannya sukar untuk ditawan. Pada awal serangan, para pahlawan Dusun menggunakan pelbagai taktik tradisional seperti melontarkan lembing (bujak), menembak dengan senapang “Snider”, serta menggulingkan batu besar dari bukit. Ramai anggota polis mengalami kecederaan akibat jerat buluh tajam (Sudah) yang dipasang di sekitar kubu.
Setelah beberapa jam bertempur, pasukan Kompeni menukar strategi dengan menyerang dari kedudukan yang lebih tinggi dan menembak bertubi-tubi ke dalam kubu. Akhirnya, pintu kubu terbuka dan ramai pejuang Dusun melarikan diri.
Kehilangan & Kesan Peperangan
Di dalam kubu, pihak Kompeni menemui tujuh mayat bergelimpangan bersama senjata-senjata mereka. Dikatakan Aki Simbarrang terbunuh, manakala Aki Togallen berjaya melarikan diri. Seorang lagi pejuang, Aki Daranding, ditangkap.
Namun, Si Gunting tidak terbunuh dalam pertempuran ini. Sebaliknya, beliau berjaya melarikan diri dan terus melakukan serangan terhadap Kompeni di kawasan lain.
Pihak polis kehilangan dua anggota, manakala sepuluh lagi cedera parah. Malah, anjing kesayangan komandan turut mati terkena serangan lembing.
Menurut laporan Kapten Barnett pada Julai 1894, Kampung Sayap Pohon sebenarnya merupakan kawasan yang sangat subur dengan lebih 2,000 pokok kelapa. Jika jalan ke kampung ini dibina, perjalanan dari Abai hanya akan mengambil masa enam jam sahaja.
Selepas kembali dari serangan, Kapten Barnett membawa 11 Ketua Masyarakat Dusun ke pejabat pentadbiran untuk menunjukkan sistem pentadbiran Kompeni dan memberi mereka hadiah berupa makanan, pakaian, dan barang keperluan.
Pahlawan Yang Tidak Didendang
Peristiwa ini menunjukkan bahawa perjuangan suku Dusun di Kota Belud bukan sekadar kisah pemberontakan, tetapi juga lambang keberanian mempertahankan tanah air mereka. Aki Simbarrang, Aki Togallen, dan Aki Tampuhim mungkin tidak disebut dalam buku-buku sejarah rasmi, tetapi kisah mereka adalah bukti bahawa nenek moyang kita telah berjuang habis-habisan demi mempertahankan hak mereka.
Sementara itu, Si Gunting terus menjadi simbol perjuangan rakyat Dusun, dengan pengaruh yang meluas dari Tambunan, Ranau, Kota Marudu hingga Kota Belud.
Sejarah ini wajar dikenang dan dikaji semula agar generasi akan datang tidak melupakan jasa para pahlawan tempatan yang telah berkorban demi mempertahankan tanah mereka.
Baca juga cerita menarik mengenai etnik yang ada di Borneo ini:
