
PETALING JAYA – Pengorbanan para pahlawan yang mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara akan terus dikenang dan menjadi amanah kepada seluruh rakyat untuk mempertahankan tanah air.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau bersama isteri menghadiri Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan Negara 2026 di Dataran Pahlawan Negara, hari ini bagi mengenang jasa dan pengorbanan para pahlawan yang telah mempertahankan kedaulatan serta keamanan negara.
Menurut beliau, persembahan pantomim Darah Pahlawan Ulu Legong cukup menyentuh hati apabila mengangkat kembali kisah keberanian tujuh anggota keselamatan yang gugur dalam pertempuran menentang pengganas komunis di Ulu Legong, Baling, Kedah pada 29 Oktober 1981.
Katanya, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Prebet Md. Said Adam yang terselamat dalam peristiwa itu, Pegawai Pemerintah 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD), Lt. Kol. Hamzah Othman, serta waris anggota yang terlibat.
“Sesungguhnya, keamanan yang kita nikmati hari ini bukan hadir dengan mudah, tetapi lahir daripada keberanian, kesetiaan dan pengorbanan para pahlawan negara. Jasa mereka akan terus terpahat dalam ingatan dan menjadi amanah untuk kita mempertahankan kedaulatan tanah air,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Anwar turut mengucapkan Selamat Hari Pahlawan 2026.
“Semoga Allah SWT merahmati roh para pahlawan yang telah gugur, mengurniakan kekuatan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan keselamatan, serta memelihara Malaysia yang aman, berdaulat dan sejahtera,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pahlawan negara tidak akan dilupakan – Anwar appeared first on Kosmo Digital.






