Paip meletup: Petronas kerah Pasukan Bertindak Kecemasan

27 Oct 2022 • 7:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Laporan Sinar Harian.

SHAH ALAM - Petronas Refinery and Petrochemical Corporation (PRPC) menggerakkan Pasukan Bertindak Kecemasan (ERT) ke Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) susulan insiden kebakaran dan letupan melibatkan satu paip penyambung pada Khamis.

PRPC dalam satu kenyataan berkata, semua pihak berautoriti telah dimaklumkan berkenaan kejadian itu.

“PRPC mengesahkan kebakaran dan letupan berlaku hari ini, 27 Oktober 2022 pada jam 3.40 petang melibatkan satu paip penyambung yang terletak di PIC, Johor.

“Pasukan Tindak Balas Kecemasan PRPC telah digerakkan untuk membendung insiden tersebut,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, api telah berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.50 petang.

“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan kejadian berkenaan tidak menimbulkan ancaman kepada persekitaran dan masyarakat,” kata kenyataan itu.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan satu kebakaran dan letupan melibatkan satu paip penyambung berlaku di PIC.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 4.12 petang.

Katanya, pemadaman telah dilakukan anggota Central Emergency and Fire Services Response (CEFS) sebelum pihak bomba tiba di lokasi dan dapat dikawal pada jam 4.23 petang.