PAIP sedia 1,288 tangki statik ketika Aidilfitri

12 Mar 2026 • 9:37 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saiful Zaini (tengah) bersama penghuni Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah dan pengamal media negeri Pahang pada majlis berbuka puasa di sebuah hotel di sini pada Rabu. Foto Sinar Harian.

KUANTAN – Sebanyak 1,288 tangki statik dan 34 lori tangki disediakan sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air sepanjang musim perayaan Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), Datuk Saiful Zaini Mohd. Bokhari berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada Pelan Kesiapsiagaan dan Operasi Tunggu Sedia yang diaktifkan bermula 14 hingga 27 Mac ini.

Menurutnya, setiap kali musim perayaan, penggunaan air di beberapa kawasan meningkat dengan ketara. Justeru, pihaknya membuat persediaan lebih awal termasuk menyelenggara peralatan, meningkatkan kapasiti simpanan air serta menyediakan langkah kecemasan.

“Sistem bekalan air pada asalnya bukan dibina khusus untuk menampung permintaan tinggi ketika musim perayaan, sama seperti jalan raya yang tidak direka khas untuk kesesakan lalu lintas semasa Aidilfitri.

“Oleh itu, kita perlu membuat persediaan awal bagi menghadapi peningkatan penggunaan secara mendadak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa bersama penghuni Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah dan pengamal media negeri Pahang di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Turut hadir Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Khairul Amri Ahmad.

Saiful Zaini berkata, selain penempatan tangki statik di lokasi berisiko tinggi, pihaknya turut melantik kontraktor bagi perkhidmatan lori tangki jumbo (Jumbo Tanker) secara tunggu sedia bagi membantu mempercepatkan urusan agihan bekalan air.

Menurutnya, sebanyak 30 stesen pengisian air turut disediakan di seluruh Pahang sebagai persediaan pengambilan air bagi tujuan agihan bekalan alternatif.

“Kontraktor pembaikan juga dilantik secara tunggu sedia di setiap daerah bagi memastikan sebarang insiden luar jangka dapat ditangani dan dibaiki dalam tempoh segera.

“Selain itu, penyediaan penjana elektrik turut dilakukan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi loji rawatan air (LRA) yang berada di kawasan berisiko tinggi terputus bekalan elektrik ketika musim perayaan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan sektor air yang terus menjalankan tugas ketika musim perayaan dan menyifatkan mereka sebagai “wira yang tidak didendangkan” dalam memastikan bekalan air kepada pengguna sentiasa terjamin.

Dalam pada itu, orang ramai digesa membuat aduan melalui saluran rasmi sekiranya menghadapi masalah bekalan air supaya tindakan segera dapat diambil.

Pengguna yang berdepan masalah bekalan air boleh menghubungi talian khidmat pelanggan PAIP di 09-573 9999 yang beroperasi selama 18 jam sehari bermula pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam.

View Original Article