
Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Tan Sri Pairin Kitingan dijangka akan menjadi salah seorang saksi pembelaan dalam perbicaraan skandal ‘Watergate’ Sabah yang membabitkan bekas pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (Jans) serta timbalannya.
Hakim Mahkamah Sesyen Datuk Abu Bakar Manat dimaklumkan mengenai perkara itu oleh peguam bela Datuk Ansari Abdullah ketika mahkamah bertanya mengenai jumlah saksi pembelaan yang masih belum memberikan keterangan selepas tiga individu termasuk bekas Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Datuk Seri Raymond Tan selesai memberi keterangan pada Khamis.
Ansari berkata Pairin merupakan antara tujuh saksi pembelaan iaitu Mohd Padal Abdul Razak, Teo Chee Ming, Datuk Michael Imban, Mohd Padal Abdul Razak, Harris dan Awang Fauzi selain tiga saksi yang akan dipanggil semula.
Menurutnya beliau telah cuba menghubungi Pairin namun gagal manakala Teo Chee Ming tidak dapat hadir kerana berada di New Zealand sementara Michael dilaporkan kurang sihat.
Bagi Awang Fauzi pula Ansari berkata beliau tidak menyedari bahawa individu berkenaan berada di dalam mahkamah sepanjang prosiding berlangsung.
Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat berkata pihaknya turut cuba menghubungi Pairin namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.
“Bagi Mohd Fadal beliau bersedia untuk dipanggil semula begitu juga dengan tiga saksi pendakwaan. Kami tidak membantah mereka dipanggil semula tertakluk kepada isu dan soalan baharu yang tidak pernah ditanya oleh peguam sebelum ini semasa peringkat pendakwaan.
“Salah seorang saksi yang dipanggil semula memaklumkan boleh hadir ke mahkamah pada Jumaat (hari ini) manakala dua lagi saksi akan memberi keterangan tahun depan.
“Bagi Awang Fauzi pula berdasarkan rekod kami, beliau berada di dalam mahkamah ketika saksi pembelaan keempat, kelima dan keenam memberi keterangan jadi perkara ini mungkin menjadi isu sekiranya beliau dipanggil untuk memberi keterangan,” katanya.



