Pak Lah Insan Berperibadi Mulia, Sentiasa Memilih Untuk Berdamai - PM

LocalPolitics
14 Apr 2025 • 10:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Perdana Menteri dan Allahyarham Abdullah Ahmad Badawi satu ketika dulu - Gambar Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi disifatkan sebagai insan yang sentiasa memilih jalan untuk berdamai meskipun beliau berkuasa untuk membalas dendam.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Allahyarham atau lebih mesra dipanggil Pak Lah bukan sekadar pemimpin, tetapi seorang insan berjiwa besar yang menerapkan naratif baharu dalam politik kekuasaan di Malaysia. 

Allahyarham juga katanya, tidak pernah menghulurkan kata-kata nista walaupun ketika Anwar berdepan detik hitam dalam hidup. 

“Masih segar di ingatan tatkala kali terakhir menziarahi beliau yang berada dalam keadaan yang sangat uzur lantas meruntun jiwa yang hiba. Namun saat tangan kami bersentuhan, matanya yang kabur masih memancarkan sinar kasih dan sikap damai yang tidak pernah padam. 

“Dalam derapan langkah politik yang sering gawat dan menyesakkan, Pak Lah sentiasa menjadi pihak yang menenangkan. Beliau menerima saya dengan penuh adab dan ihsan, meski kami pernah berada di medan politik yang bertentangan. Itulah betapa besarnya jiwa seorang negarawan ulung,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Nyata berduka dengan pemergian sahabatnya itu, Perdana Menteri berkata, Abdullah menerusi pendekatan Islam Hadhari, telah menjambatani antara aspek kemajuan dan pembangunan dengan nilai. 

“Di bawah kepemimpinannya, kita telah menyaksikan reformasi di bidang kehakiman, ketelusan dalam pentadbiran, dan pemerkasaan institusi.

“Beliau adalah sosok yang memerdekakan suara rakyat melalui pembukaan ruang media dan penyertaan awam. Pentadbiran beliau berpaksi pada Rancangan Malaysia Kesembilan yang memacu pertumbuhan ekonomi serta memfokuskan pembangunan insan dan di pedesaan,” katanya. 

Abdullah jelas Anwar lagi, mengajar rakyat erti kemanusiaan dalam kepemimpinan.

“Beliau memimpin dengan wajah yang tidak marah, tangan yang tidak menggenggam kuasa, dan suara yang tidak meninggi meski diasak bertubi-tubi,” katanya, sebak. 

Menitipkan ucapan takziah kepada Tun Jeanne Abdullah, Khairy Jamaluddin dan seisi keluarga, Perdana Menteri berkata, seisi negara turut bersedih atas kehilangan seorang negarawan yang membumi. 

“Selamat jalan, Pak Lah. Malaysia terhutang budi kepada jasa dan budi bicaramu. 

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin, diampunkan segala dosanya dan dikurniakan ganjaran syurga atas segala kebajikan yang telah ditabur sepanjang hayat beliau,” katanya. - Getaran, 14 April 2025