Pak Ya Bangga Keliling Perlis Dengan Iswara Aeroback Dihiasi Jalur Gemilang

31 Jul 2022 • 2:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pemandu teksi Zakaria Lebai Harun menghias teksinya sempena Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 peringkat Negeri Perlis di Denai Larian, Pengkalan Asam semalam - Gambar Bernama

Pak Ya Merdeka tidak malu memandu kereta Proton Iswara Aeroback yang telah mencurah bakti kepadanya selama 14 tahun, mengelilingi Perlis sempena Bulan Kebangsaan bagi memupuk semangat patriotik dalam kalangan rakyat Malaysia.

Malah, beliau berbangga apabila keretanya yang penuh dihiasi Jalur Gemilang pelbagai saiz dan bendera 14 negeri di Malaysia menarik perhatian orang ramai sekali gus membantunya mengajak rakyat menghidupkan suasana kemerdekaan di negeri ini.

Pemilik nama sebenar Zakaria Lebai Harun, 60, dari Kampung Tebuk, Simpang Empat itu berkata setiap tahun beliau akan membelanjakan sebanyak RM500 untuk menghiasi keretanya dengan Jalur Gemilang mengikut tema Hari Kebangsaan pada tahun berkenaan.

image is not available
Pak Ya ingin mengajak orang ramai menghargai erti kemerdekaan - Gambar Bernama

“Saya cari duit setiap hari semata-mata untuk menghias kereta ini, ingin mengajak orang ramai menghayati erti kemerdekaan...saya rasa bangga apabila ada orang minta untuk berswafoto dengan kereta yang sudah uzur ini, mereka kelihatan gembira,” katanya yang bekerja sebagai penjaja makanan kepada Bernama.

Bapa kepada lima anak itu berkata walaupun sumbangannya itu tidak sebesar pejuang kemerdekaan zaman dahulu yang sanggup menggadai nyawa untuk negara, setidak-tidaknya beliau telah melakukan sesuatu untuk Keluarga Malaysia.

“Saya tidak kisah apa orang nak cakap pasal saya, yang penting adalah terus istiqamah dalam perjuangan dengan cara dan mengikut kemampuan masing-masing...saya akan teruskan perjuangan ini setiap tahun selagi sihat,” katanya.

Zakaria berkata beliau hanya menggunakan kereta Proton Iswara Aeroback yang dihiasi Jalur Gemilang itu pada bulan Ogos sahaja mengelilingi Kangar, Padang Besar dan Arau bagi menyebar semangat kemerdekaan supaya ia tahan lebih lama.

Selain itu, beliau turut mengagihkan Jalur Gemilang kepada orang ramai khususnya golongan tidak berkemampuan di sekitar kampungnya.

“Setiap tahun saya beli 20 helai Jalur Gemilang untuk orang ramai menggantungnya di rumah masing-masing,” katanya. - Bernama