Kuala Lumpur: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad berkata umat Islam di negara ini perlu mengikut pandangan mufti dan ulama tempatan berhubung ucapan “rest in peace” atau RIP kepada orang bukan Islam yang meninggal dunia.
“Kita pakai pandangan mufti kita,” katanya ringkas selepas merasmikan perhimpunan dwibulanan agensi hal ehwal agama di Menara TH Tun Razak.
Beliau mengulas mengenai pendapat sarjana terkenal Turki, Mustafa Akyol bahawa orang Islam boleh mengucapkan “RIP” bagi melahirkan takziah kepada kepada orang bukan Islam yang meninggal dunia.
Tambahnya, belas kasihan Allah tidak tertakluk kepada orang Islam saja.
Pandangan itu sebagai membalas kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini bahawa orang Islam dilarang mengucapkan “rest in peace” kerana orang Islam tidak boleh mendoakan keampunan untuk orang bukan Islam seperti dinyatakan dalam beberapa hadis.
Akyol berkata, kenyataan pejabat mufti itu adalah pandangan biasa dalam kalangan orang Islam hari ini mengenai hari akhirat di mana orang bukan Islam ditempatkan di neraka dan orang Islam tidak dibenarkan mendoakan roh mereka.
Jelasnya, pandangan itu wujud kerana tradisi Islam arus perdana, yang dicipta ketika zaman konflik keagamaan dan keagungan, tidak dapat menerima “mesej toleransi, universal al-Quran”.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


