
Oleh Danial Dzulkifly
SHAH ALAM, 4 JULAI: Bekerja dari rumah (BDR) tidak seharusnya dianggap sebagai satu kelebihan sebaliknya perlu dijadikan kebiasaan terutama pekerjaan yang tidak memerlukan kehadiran fizikal.
Beberapa pakar ekonomi berpendapat amalan berkenaan bukan hanya berupaya mengekalkan bakat namun turut menjimatkan kos selain memberi manfaat lebih besar kepada pembangunan negara.
Pakar ekonomi Prof Madya Geoffrey Williams berkata bagaimanapun undang-undang sedia ada masih belum menyeluruh untuk menyokong perubahan ke arah pelaksanaan BDR.
“BDR menyeimbangkan komitmen kerja dan kehidupan peribadi serta pengaturan waktu kerja fleksibel (FWA) tidak sepatutnya dilihat sebagai faedah tambahan sebaliknya menjadi kebiasaan. Undang-undang membenarkan pekerja memohon BDR dan FWA namun majikan tidak diwajib meluluskannya.
“Kebanyakan pekerjaan boleh dilakukan secara BDR atau FWA melainkan memerlukan mereka ke pejabat seperti bekerja menggunakan peralatan tertentu atau berurusan dengan pelanggan,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau berkata amalan pekerjaan berkenaan mampu meningkatkan pengambilan dan mengekalkan pekerja serta meningkat tahap produktiviti di semua peringkat kemahiran dalam organisasi.
“Manfaat ini akan memberi kesan terutama kepada golongan muda serta mereka yang berkelayakan tinggi dan pada masa sama turut memberi daya tarikan kepada pekerja berusia dan kurang mahir.
“Antara faedah utama BDR dan FWA termasuk penjimatan kos dan peningkatan hasil pendapatan seterusnya meningkatkan keuntungan syarikat. Ia juga mengurangkan kos pertukaran pekerja dan risiko kehilangan bakat.
“Pada masa sama, syarikat dapat menurunkan perbelanjaan ruang pejabat, utiliti dan operasi serta menjimatkan kos perjalanan pekerja. Masa bekerja lebih banyak sekali gus meningkatkan produktiviti,” katanya.
Mengulas lanjut, Williams berkata BDR juga mampu mengurangkan penghijrahan tenaga pakar, isu yang telah lama membelenggu usaha Malaysia untuk menjadi negara berpendapatan tinggi.
“BDR dan FWA boleh menanganinya sekiranya pendekatan lebih menyeluruh dalam syarat pekerjaan malah boleh membuka ruang kepada rakyat Malaysia di luar negara untuk menyumbang kembali kepakaran mereka dengan bekerja secara jarak jauh bersama syarikat tempatan,” katanya.
Mengulas dakwaan BDR dan FWA mampu menjejaskan produktiviti, pakar berkenaan menjelaskan data dan kajian membuktikan sebaliknya selain risiko amalan ini sangat minimum dan mudah ditangani.
“Isu produktiviti boleh diselesaikan melalui penetapan sasaran hasil kerja dan bukannya waktu bekerja. Kerjasama juga boleh dipertingkat dengan penggunaan alat digital.
“BDR dan FWA turut membantu mengurangkan isu berkaitan trafik seperti kesesakan waktu puncak, kadar kemalangan, dan pelepasan karbon selain intervensi alam sekitar lain,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi Samirul Ariff Othman menyifatkan BDR dilihat sebagai kenaikan gaji tanpa melibatkan kos yang mampu meningkatkan reputasi majikan tanpa menambah beban syarikat.
Jelasnya ia berikutan data menunjukkan kerja jarak jauh mampu mengurangkan kadar ketidakhadiran serta menjimatkan kos hartanah syarikat.
“Global Workplace Analytics menganggarkan majikan dapat menjimatkan purata AS$11,000 (sekitar RM52,000) bagi setiap pekerja setahun jika mereka bekerja secara jarak jauh separuh masa.
“Penjimatan ini termasuk penggunaan ruang pejabat yang lebih kecil, kos tenaga yang lebih rendah, serta pengurangan perbelanjaan ubah suai dan penyelenggaraan.
“Sebagai contoh, sewa ruang pejabat Gred A di Kuala Lumpur kini sekitar RM8 hingga RM10 sekaki persegi sebulan. Jika ruang pejabat seluas 50,000 kaki persegi dikurangkan 20 peratus, syarikat boleh menjimatkan antara RM1 juta hingga RM1.2 juta setahun, belum termasuk penjimatan tenaga,” katanya.
Menyentuh isu penghijrahan bakat, beliau berkata BDR bukan jalan penyelesaian, namun mampu memperlahankan aliran keluar tenaga kerja mahir dari negara ini.
“Kira-kira 1.8 juta rakyat Malaysia atau 5.5 peratus daripada tenaga kerja kini bekerja di luar negara iaitu lebih dua kali ganda purata global. Tetapi apabila bakat tempatan boleh memberikan khidmat kepada pelanggan antarabangsa dari lokasi seperti Pulau Pinang atau Kuching, jurang gaji menjadi kecil selepas mengambil kira kos sara hidup dan cukai,” katanya.
Pada Mei, kerajaan melaksanakan arahan sementara BDR kepada penjawat awam sempena Sidang Kemuncak ASEAN 2025 di Kuala Lumpur. Sektor swasta turut digalakkan mengambil langkah sama bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.
The post Pakar ekonomi: Bekerja dari rumah beri banyak manfaat, perlu jadi kebiasaan appeared first on Selangorkini.

