Pakar ekonomi bidas Ahli Parlimen PH guna hujah tempahan hotel untuk banding era kerajaan PN

Politics
6 Mar 2024 • 10:44 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pakar ekonomi bidas Ahli Parlimen PH guna hujah tempahan hotel untuk banding era kerajaan PN

herman

06/03/2024 - 10:44

KUALA LUMPUR 6 Mac - Hujah hotel penuh ditempah bukti rakyat kini lebih gembira di bawah kerajaan perpaduan berbanding kerajaan terdahulu seperti dibangkitkan seorang Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) adalah tidak berasas sama sekali, kata ahli ekonomi.

Ketua Pegawai Eksekutif Center for Market Education, Carmelo Ferlito berkata, perbandingan tempahan hotel oleh Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) di Dewan Rakyat minggu lalu tidak mempunyai apa-apa makna kerana hotel terpaksa ditutup akibat COVID-19 sewaktu pentadbiran kerajan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, walaupun tempahan hotel boleh dijadikan ukuran ekonomi tetapi jika PH mentadbir ketika itu pun, hal yang sama juga akan berlaku.

image is not available
CARMELO FERLITO

"Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin kerajaan dari Februari 2020 hingga Ogos 2021, di tengah-tengah pandemik COVID-19 dan perintah kawalan pergerakan.

“Ia tidak akan memberi sebarang perbezaan. (Setiap kerajaan) akan mengambil langkah perintah berkurung, walaupun ahli ekonomi memberi amaran terhadap kesan buruknya.

“Data yang betul daripada persatuan hotel, yang membandingkan kadar tempahan semasa dengan kadar tempahan sebelum wabak boleh memberikan pandangan yang lebih bermakna. Itu akan menjadi perbandingan yang lebih adil,” katanya kepada Free Malaysia Today.

image is not available
Ahli Parlimen PH Sri Gading, Aminolhuda Hassan.

Aminolhuda baru-baru ini berkata, tempahan hotel di Kuala Lumpur yang penuh ketika ini menunjukkan bahawa rakyat "gembira" dengan prestasi kerajaan perpaduan.

Ahli Parlimen Sri Gading itu berkata, sebagai perbandingan, orang ramai terpaksa mengibarkan bendera putih untuk mendapatkan bantuan pada zaman kerajaan pimpinan PN kerana kekurangan makanan atau barangan asas.

“Kalau kita masuk hotel dan penuh, ini menunjukkan rakyat gembira dan boleh berseronok,” katanya di Dewan Rakyat.

Semakan dengan Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Christina Toh mendedahkan lonjakan tempahan hotel di beberapa tempat berikutan perayaan dan cuti sekolah.

Toh berkata, tempahan hotel di negeri tertentu telah mencapai 80% daripada tahap pra-pandemik, manakala di negeri lain kekal rendah.

Syahir Sulaiman dari Pas juga menolak kenyataan Aminolhuda dengan mengatakan keadaan ekonomi kerajaan pimpinan PN sangat berbeza akibat pandemik COVID-19.

Ahli Parlimen Bachok itu berkata, semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri, Malaysia telah menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi.

“Ya, rakyat menghadapi kesukaran, tetapi kerajaan pada masa itu mendengar dan menangani masalah mereka. Kami komited untuk memastikan semua orang mempunyai makanan di atas meja.

"Terdapat juga moratorium dan bantuan kewangan untuk perusahaan kecil dan sederhana," katanya.

Syahir menuduh pentadbiran semasa menafikan kebimbangan ekonomi rakyat dan berkata, beliau lebih suka menggunakan petunjuk ekonomi di lapangan untuk mengukur prestasi kerajaan.

Beliau berkata, ini termasuk kuasa beli rakyat dan bukannya penunjuk makroekonomi seperti keluaran dalam negara kasar, yang mungkin tidak mencerminkan realiti di lapangan.

"Pada penghujung hari, orang akan sentiasa berbelanja, tetapi penting bagi kita untuk melihat sama ada mereka berbelanja daripada apa yang mereka peroleh atau meminjam," katanya.- DagangNews.com