Misteri kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Azman masih belum terungkai selepas lima tahun. Penganalisis kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berpendapat Zalina mungkin sengaja meninggalkan identiti sosial dan kehidupan lamanya, bukannya menjadi mangsa jenayah.
Menurut beliau, berdasarkan pengalaman mengkaji pelbagai kes orang hilang sebelum ini, terdapat individu yang memilih untuk memulakan kehidupan baharu dengan mengubah penampilan, rutin harian dan lingkungan sosial tanpa perlu menukar dokumen rasmi.
AdvertisementView this post on Instagram
“Kalau ikut rekod kes-kes sebelum ini, orang hilang dalam tempoh lama ada yang akhirnya muncul semula.”
“Dalam kes seperti ini, kemungkinan besar dia menghilangkan identiti sosialnya.”
“Bukan bermaksud dia menukar dokumen pengenalan diri, tetapi dia memilih untuk hidup di tempat lain tanpa mahu dikenali sebagai dirinya sebelum ini,” katanya seperti dilaporkan Metro Ahad.
Sehingga kini, polis masih mengekalkan status Zalina sebagai Orang Hilang (OH) kerana tiada bukti sahih yang menunjukkan beliau telah meninggal dunia atau meninggalkan negara. Kes itu juga masih terbuka dan siasatan diteruskan sekiranya terdapat petunjuk baharu.
Mengulas lanjut, beliau berkata status Zalina sebagai personaliti televisyen yang dikenali ramai turut menguatkan kemungkinan individu berkenaan memilih untuk tidak lagi dikenali jika benar ingin memulakan kehidupan baharu.
“Sekiranya Zalina masih menjalani kehidupan menggunakan identiti serta rutin sama, besar kemungkinan pihak berkuasa sudah berjaya mengesannya melalui pelbagai urusan dan rekod rasmi.
“Atas sebab itu, saya lebih cenderung menolak kemungkinan kehilangan berkenaan berpunca daripada jenayah kerana sehingga kini tiada sebarang petunjuk yang mengaitkan kes itu dengan pembunuhan, penculikan atau perlakuan jenayah lain.
“Kalau benar berlaku jenayah, lazimnya akan ada petunjuk tertentu yang boleh membawa kepada siasatan. Dalam kes ini, sehingga sekarang tiada,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa status Orang Hilang bukan bermaksud siasatan dihentikan, sebaliknya polis masih melakukan semakan berkala terhadap setiap petunjuk baharu termasuk penemuan mayat tanpa identiti.
View this post on Instagram
Menurutnya, harapan untuk merungkai misteri kehilangan Zalina masih ada melalui kemajuan teknologi forensik, analisis DNA, semakan rekod baharu serta maklumat daripada orang awam.
“Walaupun tempoh kehilangan semakin panjang, harapan untuk merungkai misteri itu masih ada menerusi perkembangan teknologi forensik, analisis ujian asid deoksiribonukleik (DNA), semakan rekod baharu serta maklumat yang disalurkan orang awam.
“Setiap penemuan mayat tanpa identiti akan melalui proses semakan dengan rekod orang hilang termasuk analisis identiti bagi memastikan tiada kaitan dengan kes yang masih belum selesai.
“Semakin lama sesuatu kes itu berlarutan, memang cabarannya semakin besar, namun itu tidak bermakna siasatan harus dihentikan kerana semua kemungkinan yang munasabah masih perlu disiasat,” katanya.
Selain itu, kami kongsikan artikel trending yang lain pada pautan di bawah.

"Waktu Tu Saya Tinggal Spender, Bekas Isteri Ambil Semua Aset" - Safee Sali Kongsi Titik Terendah Dalam Kehidupan
The post Pakar Jenayah Kongsi Teori Kehilangan Pengacara TV Zalina Azman – “Mungkin Tiada Kaitan Jenayah, Tetapi…” first appeared on Beautifulnara -Terkini dan Sensasi.
