
PETALING JAYA: Seorang pakar kecantikan dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan, akhir tahun lalu.
Lincy Lim, 50, turut hilang kelayakan memegang atau memiliki lesen memandu selama dua tahun. Hukuman penjara wanita itu juga boleh ditambah selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Majistret Nur Natasya Mohtarudin menetapkan hukuman tersebut selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta jenis Proton X70 dengan kadar alkohol 107 miligram (mg) iaitu 57 mg melebihi had yang dibenarkan di KM 11.6 Lebuhraya Damansara – Puchong (LDP) di sini, pada pukul 11.59 malam, 31 Disember 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000 serta penjara tidak melebihi dua tahun.
Mengikut fakta kes, anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menjalankan tugas sekatan jalan raya di lokasi berkenaan sebelum menahan sebuah kereta yang dipandu tertuduh kerana disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
Hasil ujian pernafasan menggunakan alat ujian layar SD2 kemudian mendapati kadar alkohol dalam darah tertuduh adalah sebanyak 107 mg per 100 mililiter (ml) darah.
Timbalan Pendakwa Raya, Lim Leong Hui mencadangkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran serta mengambil kira faktor kepentingan awam.
Bagaimanapun, peguam bela, Azrul Hakimi Ramli yang mewakili Lincy memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang telah bercerai merupakan pesalah kali pertama tanpa sebarang rekod lampau. – UTUSAN
The post Pakar kecantikan pandu bawah alkohol didenda, penjara appeared first on Utusan Malaysia.

