
PETALING JAYA – Pihak berkuasa digesa mengeluarkan penjelasan bertulis berhubung layanan kawal selia terhadap dua kargo petroleum bernilai lebih RM220 juta di bawah prosedur Kastam K8 di Tanjung Langsat, Johor.
Gesaan itu dibuat pakar industri maritim Datuk Seri R. Jeyenderan yang berkata, penjelasan rasmi diperlukan bagi memperincikan tanggungjawab pihak terlibat serta menjawab persoalan mengenai pengendalian dan dokumentasi kargo berkenaan.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, berkata, syarikatnya bertindak sebagai ejen kapal bagi kedua-dua pergerakan kargo itu, bukannya pemilik kargo, pengendali terminal, makmal, pengikrar atau pihak berkuasa kawal selia.
Menurut laporan syarikat bertarikh 26 Ogos, kedua-dua kargo itu berjumlah 76,954.325 tan metrik Atlanta Crude bernilai RM220,253,176.38, yang dipunggah di Tanjung Langsat dan dikaitkan dengan tangki T-5001, T-5004 serta T-5008 di DIALOG Terminals Langsat (DTL).
Beliau menjelaskan, rekod berkaitan tangki, penjagaan kargo, ujian dan pergerakan produk diperlukan bagi menjelaskan pengendalian kargo selepas dipunggah, termasuk sama ada berlaku pencampuran, pengadunan atau penambahan bahan lain.
“Namun, perkara itu tidak membuktikan bahawa mana-mana kargo tertentu telah dicampur atau diadun. Sebaliknya, ia menjelaskan mengapa rekod berkaitan tangki, penjagaan kargo, ujian dan pergerakan kargo diperlukan bagi memperjelas apa yang berlaku kepada kargo berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Jeyenderan menerangkan, persoalan itu turut meliputi peraturan dan kelulusan bagi kargo K8, kesan sebarang aktiviti pencampuran terhadap klasifikasi kargo serta bagaimana pergerakannya direkodkan dari masa ketibaan sehingga berlepas.
“K8 adalah pengikraran Kastam bagi barangan yang dibawa masuk ke Malaysia secara sementara untuk tujuan penghantaran semula di bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Kastam 2019,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Pakar maritim gesa penjelasan bertulis tentang isu kargo K8 appeared first on Kosmo Online.






