
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Kesuburan wanita merupakan salah satu topik kesihatan yang amat penting bagi setiap kaum hawa. Yelah, mungkin ramai yang tidak sedar mereka ini sedang mengalami isu kesuburan sehinggalah berdepan masalah berkaitan haid atau kesukaran untuk mendapatkan cahaya mata.
Sebagai pasangan berkahwin pastinya rata-rata daripada wanita mahukan zuriat sendiri, namun bagi yang mempunyai masalah kesuburan ia perlulah ditangani terlebih dahulu dalam usaha hamil.
Banyak manfaat pengambilan habbatus sauda
Baru-baru ini seorang Pakar Nutrisi, Syaza Lyana Idris telah berkongsi kebaikan pengambilan habbatus sauda untuk kesuburan wanita.
Jelas Syaza, habbatus sauda atau nama saintifknya Nigella Sativa adalah salah satu daripada makanan sunnah yang disyorkan oleh Rasullullah SAW selain daripada madu.
“Mari saya kupaskan, jika ikut 14 kajian saintifik kesan (baik pengambilan) habbatus sauda pada kesuburan wanita,” ujarnya.
Habbatus sauda mengandungi antioksidan yang sangat bagus, berfungsi buang radikal bebas
Menurut Syaza, di dalam habbatus sauda terdapat satu jenis ejen antioksidan yang sangat bagus iaitu Thymoquinone (TQ).
Jelasnya TQ merupakan sebatian utama di dalam habbatus sauda dan ia mempunyai antioksidan sangat tinggi yang berfungsi untuk membuang radikal bebas yang berada dalam badan manusia.
“Kenapa habbatus sauda ‘big deal’ untuk korang yang tengah bertungkus-lumus nak TTC (Trying To Conceive)? Sebab ovari dan telur kita ni sensitif sangat dengan stres oksidatif.
“Stres ini yang selalu kacau kualiti telur, punca (berlakunya) PMOS (Polyendocrine Metabolic Ovarian Syndrome)/ PCOS (Polysistic Ovary Syndrome) dan endometriosis,” ujarnya.
Dapat kemaskan semula struktur tisu ovari
Menerusi kajian-kajian yang telah dilakukan, habbatus sauda serta TQ secara konsisten menunjukkan keputusan yang positif seperti:
- Menurunkan MDA (stres oksidatif) – yang bermaksud kerosakan sel/oksidatif berkurangan
- Naikkan SOD (superoxide dismutase) & TAS (transabdominal sonography) – sistem ketahanan antioksidan yang semula jadi pada badan meningkat
- Memperbanyakkan bilangan folikel ovari
- Kemaskan semula struktur tisu ovari
“Terdapat kajian pada model PMOS tunjuk bilangan folikel sista (follical cyst) semakin berkurang, tambah pula bacaan gula, kolesterol dan hormon Luteinizing (LH) dan Folicle-Stimulating Hormone (FSH) semakin cantik.
“Tapi itu kajian ke atas haiwan kalau manusia, 207 orang wanita (yang berdepan masalah) PMOS, dipantau selama enam bulan dan diberikan minyak habbastus sauda 1500 MG sehari bersama metformin,” katanya.
Kesan positif beri habbatus sauda dan metformin kepada 207 wanita dalam kajian dilakukan
Kesan yang berlaku ke atas 207 wanita tersebut adalah:
- Haid yang sebelum ini tidak teratur atau tidak datang menjadi semakin teratur
- Terdapat penurunan berat badan
- Antioksidan badan (SOD) naik, stres oksidatif (MDA) pula menurun
Katanya perkara itu berlaku kerana wanita terbabit makan habbatus sauda bersama metformin.
Cara selamat pengambilan habbatus sauda
Oleh itu, Syaza amat menyarankan wanita untuk mengambil habbatus sauda dan berkongsi cara pengambilan yang selamat seperti:
- Satu sudu kecil minyak habbatus sauda sehari, atau boleh juga tabur bijinya di dalam masakan
- Konsisten – antioksidan ni kerja terkumpul, bukan hari ni minum esok terus sihat
- Makan sekali dengan makanan
- Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sekiranya anda ada makan metformin, ubat kencing manis, ubat cair darah, mahupun sedang menjalani kitaran IVF. Ini kerana ia mempunya kesan pada gula dalam darah dan pembekuan darah.
“Paling penting jaga pemakanan, keseluruhan diet kita khususnya tiga bulan sebelum buat rawatan.
“Apa yang korang makan hari ini akan bentuk kualiti telur untuk tiga bulan akan datang, dan bukan telur pada bulan ini,” katanya lagi.
View on Threads
