Pakar perubatan meninggal dunia akibat tekanan

LocalPolitics
17 Sep 2024 • 10:02 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Seorang pakar perubatan, Dr. Tay Tien Yaa, ditemui meninggal dunia dipercayai bunuh diri, di kediamannya pada 29 Ogos lalu. Berita tersebut mengejutkan keluarga dan rakan-rakan sekerjanya di Hospital Lahad Datu, Sabah.

Menurut perkongsian hantaran adik lelakinya, YS Tay berkata, Tien Ya memperoleh kelulusan MBBS dari Volgograd State Medical University, Rusia, pada tahun 2013, memulakan kerjayanya sebagai Pegawai Perubatan (MO) di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Kuala Lumpur (HKL), selepas menjalani latihan Housemanship di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB).

Pada tahun 2020, Dr. Tien Ya memasuki program Sarjana Perubatan Forensik dan kemudian berpindah ke bidang Sarjana Patologi Kimia. Pada tahun 2023, beliau menamatkan pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM).

Walaupun berjauhan dengan suami, Dr. Tien Ya berpegang pada janji pengurusan untuk dipindahkan semula ke Semenanjung selepas dua tahun perkhidmatan. Beliau bertekad meningkatkan perkhidmatan perubatan di Hospital Lahad Datu.

Namun, tekanan di tempat kerja menjadi beban berat baginya. YS Tay mendakwa, Ketua jabatan telah menindas kakaknya yang ditugaskan sebagai Ketua Unit Patologi Kimia, melibatkan pemeriksaan instrumen, penyediaan laporan, serta menguruskan sumber manusia dan kewangan jabatan.

Fenomena buli dalam kalangan doktor baharu semakin berleluasa dan Dr. Tay mungkin menghadapi kesukaran yang tidak pernah diceritakannya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, telah mengarahkan siasatan lanjut berhubung kematian Dr. Tay Tien Yaa yang didakwa mengakhiri hidupnya akibat tekanan dan buli di tempat kerja.

Lapor Harian Metro, Dr. Dzulkefly menegaskan, pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap sebarang perbuatan buli. Pendekatan ini telah diamalkan sejak tahun 2018, ketika beliau pertama kali memegang jawatan Menteri Kesihatan.

Beliau berazam untuk memastikan keadilan bagi doktor-doktor muda dan menghapuskan budaya yang merugikan kesihatan mental di tempat kerja.