
RIYADH: Satu pakatan pertahanan antara Arab Saudi, Turkiye dan Pakistan dibentuk bertujuan mencegah Iran daripada bertindak agresif, mengimbangi peranan Amerika Syarikat (AS) yang dilihat tidak boleh diharapkan, menurut penganalisis.
Ketika perang di Asia Barat berlarutan, pakatan itu menyatukan tiga kuasa Sunnah, semuanya sekutu AS menerusi klausa ala Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang menganggap serangan terhadap sebuah negara sebagai serangan terhadap kesemua negara anggota.
Bagaimanapun, penganalisis meragui peruntukan itu akan dikuatkuasakan dalam masa terdekat kerana ketiga-tiga negara sedang berusaha mencari penyelesaian kepada perang berkenaan, dengan Pakistan dan Turkiye bertindak sebagai orang tengah.
Hampir enam bulan selepas perang di Asia Barat bermula, AS gagal memberikan pukulan penentu kepada Iran.
Teheran pula terus menyekat lalu lintas kapal di Selat Hormuz, manakala sekutunya, kumpulan Houthi, mengganggu perkapalan di Laut Merah.
Keadaan itu telah mengubah struktur keselamatan rantau berkenaan secara ketara, sekali gus memaksa penilaian semula terhadap pandangan konvensional selama beberapa dekad yang berasaskan keunggulan ketenteraan AS.
Walaupun terdapat rangkaian pangkalan AS di seluruh rantau itu, tentera Amerika berdepan kesukaran untuk memintas semua dron dan peluru berpandu balistik yang dilancarkan Iran serta kumpulan proksinya.
“Perikatan baharu itu menunjukkan bahawa keupayaan pencegahan Amerika telah terjejas dengan ketara dan ancaman Iran semakin perlu ditangani oleh kuasa-kuasa serantau,” tulis Ali Shihabi, seorang penganalisis politik yang rapat dengan kerajaan Arab Saudi.
Sejak perang bermula, Arab Saudi semakin rapat dengan Turkiye yang sebelum ini mempunyai hubungan tegang dengannya, selain dengan Mesir dan Pakistan.
Keempat-empat negara itu menyokong usaha pengantaraan dalam konflik berkenaan.
Ketiga-tiga negara itu tidak mungkin menyerang Iran sekiranya Teheran mengulangi serangannya terhadap Arab Saudi.
Pakistan, misalnya, tidak menyerang negara jirannya itu walaupun telah menandatangani perjanjian pertahanan yang sama dengan Arab Saudi pada tahun lalu.
“Turkiye dan Pakistan tidak akan berperang dengan Iran. Negara-negara ini melihat diri mereka sebagai ‘penstabil’ dan mahu mewujudkan momentum politik untuk mencapai matlamat tersebut,” tulis Asli Aydintasbas, seorang felo di Institut Brookings. – AFP
The post Pakatan Arab Saudi, Turkiye, Pakistan halang Iran bertindak agresif appeared first on Utusan Malaysia.
