Pakatan Harapan gabungan paling stabil dalam PRU15: Ewon

Politics
7 Nov 2022 • 1:34 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, berkata PH adalah gabungan parti politik paling stabil dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) yang merupakan asas penting dalam mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil.

“Setiap kali pilihan raya, rakyat mahu mengundi kerana mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil. Kita lihat hari ini selepas penamaan calon, walaupun parti-parti lain di Sabah bekerjasama dan berunding menentukan calon bertanding tetapi mereka tiada kesepakatan kerana masih ada di antara mereka yang bertanding sesama sendiri, menggunakan logo sendiri.

“Walaupun parti-parti berkenaan berada dalam kerajaan yang sama namun pada hari ini mereka bersaing sesama sendiri.

“Bagaimana mereka boleh menubuhkan sebuah kerajaan stabil sekiranya pada hari penamaan calon mereka sudah kelihatan tidak stabil?,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jelajah Harapan Penampang, di Tugu Datuk Peter Mojuntin Donggongon, di sini, malam Sabtu lepas.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, rakyat khususnya pengundi-pengundi di Penampang, di Sabah dan di Malaysia secara keseluruhannya harus menilai keadaan itu pada hari pengundian jika inginkan sebuah kerajaan yang stabil.

“Kalau kita mahu kerajaan yang stabil, lihat gabungan mana yang paling stabil dan sudah ternyata Pakatan Harapan adalah gabungan yang amat stabil, tidak seperti gabungan-gabungan parti lain.

“Ini menunjukkan kita ada kesepakatan dalam menubuhkan kerajaan persekutuan yang stabil supaya dapat membangunkan negara ini dengan lebih baik,” katanya.

Menurut Ewon, pada hari pengundian 19 November dan pengundian awal pada 15 November, rakyat bukan hanya mengundi Ahli Parlimen di kawasan masing-masing tetapi mengundi untuk menentukan kerajaan persekutuan dan Perdana Menteri.

“Pakatan Harapan juga mempunyai hanya satu calon Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengerusi PH dan juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah parti berbilang kaum.

“Beliau belum pernah menjadi Perdana Menteri. Semasa menjadi Menteri Kewangan Malaysia, beliau digelar sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia. Selaku calon Perdana Menteri selama ini, beliau turut menerima pengiktirafan daripada banyak negara di seluruh dunia melalui kunjungan-kunjungan hormat mereka terhadap beliau,” katanya.

Oleh itu beliau berharap rakyat negeri ini dapat membuat penilaian dan pilihan bijak dengan mengundi calon Pakatan Harapan demi sebuah harapan baharu rakyat negara ini.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.