Pakej ekonomi fasa dua jamin peluang kerja, pertahan ekonomi bermaruah

LocalBusiness & Finance
17 May 2026 • 9:42 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pakej ekonomi fasa dua jamin peluang kerja, pertahan ekonomi bermaruah

JOHOR BAHRU, 17 MEI: Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor fasa kedua yang sedang dirangka Kerajaan Negeri bertujuan memastikan sektor perindustrian terus beroperasi dan rakyat tidak kehilangan pekerjaan susulan ketidaktentuan ekonomi global.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu penting bagi mengelakkan rakyat terdesak akibat kehilangan sumber pendapatan sehingga menjejaskan kesejahteraan dan kehidupan mereka.

“Ketika pandemik lepas (COVID-19), ekonomi tidak stabil. Di luar negara, apabila berlaku krisis tidak menentu ini, peluang pekerjaan hilang. Jadi ada (penduduk) sampai yang terpaksa menjual tubuh.

“Kita nak elakkan perkara ini. Sebab itu kita nak lindungi semua industri supaya pekerja tidak terkesan. Untuk jaga maruah ekonomi, maknanya kena kerja. Bukan merompak, mencuri. Sebab itu kita kena bekerjasama.

“Kita akan siapkan pakej untuk memulihkan industri dan orang akan bekerja dengan bermaruah. Ekonomi runcit, perkhidmatan, perkilangan terus berjalan supaya rakyat terus ada pekerjaan,” katanya.

Image from: Pakej ekonomi fasa dua jamin peluang kerja, pertahan ekonomi bermaruah
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan ketika sesi dialog bersama mahasiswa sempena program Jerayawara Siswa Kita Selangor Zon Selatan di Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru pada 16 Mei 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jerayawara Siswa Kita Selangor Zon Selatan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), di sini semalam.

Jelas Amirudin, kejayaan sesebuah negara bukan hanya diukur menerusi pembangunan fizikal dan kemajuan ekonomi, sebaliknya turut bergantung kepada nilai maruah, daya tahan serta kekuatan jiwa rakyat.

“Kita bukan nak maju dari segi fizikal, akal tetapi roh dan juga jiwa,” katanya.

Pada 16 April lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor bernilai RM131 juta bagi membantu rakyat serta industri negeri itu menghadapi kesan krisis bekalan tenaga global yang semakin mencabar susulan ketegangan di Asia Barat.

Inisiatif di bawah pakej berkenaan dijadual dilaksanakan mulai Jun sebagai langkah fasa pertama untuk mengukuhkan bekalan makanan dan mengawal inflasi akibat konflik Asia Barat.

Minggu lalu, EXCO Pelaburan Ng Sze Han memaklumkan Kerajaan Negeri telah memulakan sesi libat urus bersama pemain industri yang terkesan bagi merangka bantuan lebih bersasar.

Menurutnya, Invest Selangor turut mengadakan siri perbincangan bersama dewan perniagaan dan perdagangan untuk mencari penyelesaian terbaik kepada semua sektor industri.