
KUALA LUMPUR - Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo di bawah inisiatif Pakej Rahmah menawarkan harga langganan RM69 untuk tempoh kontrak 24 bulan, kata Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata, Pakej Rahmah Allo yang menawarkan perkhidmatan Internet dengan data tanpa had sepanjang tempoh kontrak memberikan penjimatan RM30 sebulan berbanding pakej semasa yang ditawarkan syarikat berkenaan iaitu RM99.
"Rakyat Malaysia daripada kumpulan sasar seperti golongan B40, warga emas, veteran Angkatan Tentara Malaysia, Polis Diraja Malaysia, pesara Agensi Penguakuatsaan Maritim dan Orang Kurang Upaya, layak menikmati akses Internet tersebut dengan kelajuan 100 megabit sesaat (Mbps)," katanya ketika berucap sempena Majlis Pelancaran Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo di sini pada Jumaat.
Pelancaran Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo merupakan hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan Digital dengan penyedia perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Allo Technology Sdn Bhd dan Tenaga Nasional Berhad.
Fahmi berkata, perkhidmatan Internet tersebut meliputi kawasan bandar dan luar bandar bagi kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA) di Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah yang mempunyai akses rangkaian liputan Allo.
AKAN MENYUSUL

