Pakej Rahmah Prabayar Siswa – Ini Cara Untuk Melanggan Pakej Yang Ditawarkan

TechnologyDigital
16 Aug 2024 • 6:29 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pakej Rahmah Prabayar Siswa merupakan tawaran prabayar khas yang direka untuk menangani peningkatan kos sara hidup melalui penyediaan perkhidmatan telekomunikasi asas dengan kos yang lebih rendah. Tawaran harga juga tidak melebihi RM30 dengan data permulaan internet minimum 30GB dan tempoh sah laku selama 180 hari.

image is not available

Ia dikhususkan untuk golongan pelajar lepasan menengah yang melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang terpilih. Penawaran ini dibuka untuk langganan bermula hari ini (sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak) kepada individu berumur 25 tahun dan ke bawah dengan kelayakan secara automatik akan ditentukan berdasarkan tarikh lahir berdaftar (bukan tahun kelahiran) dalam sistem butiran setiap penyedia perkhidmatan.

image is not available

Tiada had untuk langganan tetapi pengguna hanya boleh melanggan sekali sahaja pada satu-satu masa. Ini bermakna selepas kuota digunakan sepenuhnya, anda mempunyai pilihan untuk membeli semula pas yang baharu. Namun hanya satu akaun sahaja yang layak melanggani pakej tersebut justeru pastikan anda membeli pas untuk kad SIM atau akaun yang ingin digunakan.

Selain itu pakej data juga tidak boleh digabungkan dengan mana-mana tawaran lain melainkan dinyatakan dengan jelas. Berikut dikongsikan cara untuk melanggan Pakej Rahmah Siswa mengikut syarikat telekomunikasi yang mengambil bahagian:


CelcomDigi

image is not available

Penawaran ini dibuka untuk pelan prabayar CelcomDigi Prepaid Edisi Biru dan CelcomDigi Prepaid Edisi Kuning sama ada pelanggan baharu atau sedia ada. Tawaran hanya akan tersedia untuk pembelian semula 180 hari selepas pembelian pertama. Kemudian data internet 30GB yang disediakan boleh digunakan untuk penstriman video, permainan dalam talian, atau sebarang aktiviti komunikasi yang penting seperti untuk tujuan pembelajaran, mengakses dan menghantar e-mel, melayari laman web, berinteraksi di media sosial, dan lain-lain. Langganan boleh dibuat melalui aplikasi CelcomDigi dan MyDigi dengan beberapa langkah mudah di bawah:

Aplikasi Celcom Life:

  • Langkah 1: Log masuk ke aplikasi Celcom Life
  • Langkah 2: Pilih ‘Add-Ons’
  • Langkah 3: Pilih ‘Internet’
  • Langkah 4: Pilih ‘One Time Pass’
  • Langkah 5: Pilih ‘Pakej Rahmah Siswa’ untuk melengkapkan transaksi pembelian.

Aplikasi MyDigi:

  • Langkah 1: Log masuk ke aplikasi MyDigi
  • Langkah 2: Pilih ‘Buy Add-Ons
  • Langkah 3: Pilih ‘Internet’
  • Langkah 4: Pilih ‘On Demand’
  • Langkah 5: Pilih ‘Pakej Rahmah Siswa’ untuk melengkapkan transaksi pembelian.


TM (Unifi Mobile)

image is not available

Penawaran ini juga terbuka untuk semua pelanggan prabayar baharu atau sedia ada Unifi Mobile. Kemudian pas data yang dibeli juga membolehkan pengguna kekal berhubung dan menjalankan aktiviti harian yang penting termasuk untuk tujuan pembelajaran, media sosial dan lain-lain. Penggunaan hotspot juga disediakan dengan hanya terhad untuk peranti mudah alih sahaja dan tiada peranti lain.

Cuma perkara yang perlu diberi penekanan dalam proses pembelian adalah pengguna perlu memastikan akaun mempunyai baki minimum RM30 sebelum meneruskan transaksi. Selain itu pengguna baharu juga diperlukan untuk memuat turun aplikasi Unifi Mobile di telefon pintar masing-masing terlebih dahulu bagi membolehkan mereka meneruskan pembelian. Ini adalah kerana langganan hanya boleh dibuat melalui aplikasi Unifi Mobile, dan

Pengguna boleh ikuti langkah-langkah di bawah:

  • Langkah 1 : Log masuk ke aplikasi Unifi Mobile.
  • Langkah 2: Pastikan akaun anda mempunyai baki minimum RM30.
  • Langkah 3: Klik “BUY NOW” dan cari Pakej Rahmah Siswa di dalam tab “Pakej Khas”.
  • Langkah 4: Pilih Pakej Siswa dan klik “BUY” untuk mengesahkan pembelian anda.
  • Langkah 5: Anda akan menerima pengesahan pembelian melalui SMS.


U Mobile

image is not available

Pengguna boleh mengaktifkan pakej ini melalui aplikasi MyUMobile. Sekali lagi perlu diberi penekanan di sini pengguna perlu mempunyai baki kredit minimum RM30 dalam akaun yang aktif. Kemudian U Mobile akan memotong jumlah daripada baki kredit berkenaan untuk yuran pengaktifan (sama ada dibenarkan oleh pengguna atau tidak). Tiada bayaran balik atau permintaan kredit akan diberikan.

image is not available

Selain itu langganan juga tidak akan diperbaharui secara automatik yang bermakna pengguna perlu membeli semula pakej selepas kuota digunakan sepenuhnya. Pembelian boleh dibuat pada bila-bila masa dan sebarang data yang tidak digunakan akan dibawa ke hadapan atau digunakan semasa pembelian semula pakej data. Data 30GB disediakan menyokong pada kelajuan 4G/5G tanpa had untuk semua penggunaan termasuk pendidikan, permainan, media sosial dan lain-lain. Penggunaan hotspot juga disediakan dengan hanya terhad untuk peranti mudah alih sahaja dan tiada peranti lain.

Cara langgan adalah seperti berikut:

  • Langkah 1: Buka aplikasi MyUMobile
  • Langkah 2: Pilih ‘Add-Ons’
  • Langkah 3: Pilih ‘Others’
  • Langkah 4: Pilih ‘Pakej Rahmah Siswa’ untuk melengkapkan transaksi pembelian.


YTL Communication (YES)

image is not available

Pakej Rahmah Prabayar Siswa daripada YES menawarkan pelan menarik yang disertakan dengan data 30GB + 30GB (kelajuan sehingga 7Mbps) dengan tempoh sah laku 180 hari. Selain itu perkhidmatan dalam talian bagi panggilan suara dan SMS dalam negara pula tanpa had yang bermakna tiada bayaran dikenakan. Cuma mana-mana panggilan suara dan SMS antarabangsa akan dikenakan caj sebanyak RM0.90 untuk setiap minit/SMS.

Menariknya lagi apabila langganan bukan sahaja boleh dibuat melalui aplikasi MyYes malahan juga boleh dibuat di Yes Online Store (my.yes) dan kedai fizikal rasmi di seluruh Malaysia. Langganan juga hanya boleh dibuat melalui satu akaun sahaja dengan syarat pengguna tidak mempunyai lebih daripada 5 akaun yang pernah berdaftar dengan YES sepanjang perkhidmatan.


Semakan kami masih belum menjumpai penawaran daripada Maxis sehingga artikel ini ditulis. Kami akan mengemaskini semula penawaran tersebut kemudian. Pengguna terpilih juga boleh merujuk di soalan lazim (FAQ) di portal rasmi MCMC melalui pautan ini bagi mendapatkan maklumat lanjut sepenuhnya berkaitan IPTA dan ILKA yang terpilih.