Pakistan-India Diharap Mampu Cari Penyelesaian, Wujudkan Semula Keamanan - PM

6 Jun 2025 • 7:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar PMO

KUALA LUMPUR - Pakistan dan India diharapkan dapat mencapai penyelesaian yang tuntas, bagi mengembalikan keamanan dan kedamaian di kedua-dua negara. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau menerusi perbualan telefon bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif turut menyampaikan harapan agar lawatan rasmi rakan sejawatnya itu ke Malaysia dapat dijadualkan semula. 

“Malaysia menantikan peluang untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala yang strategik, saling menghormati, dan membawa manfaat bersama,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Anwar memberitahu, beliau turut mendoakan Sharif yang kini berada di Tanah Suci dikurniakan haji mabrur. 

“Saya turut menghargai ucapan tahniah yang disampaikan oleh PM Shehbaz atas kejayaan Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini,” katanya.

Konflik antara Pakistan dan India kembali tercetus selepas serangan maut ke atas pelancong beragama Hindu di Kashmir, 22 April lalu yang meragut 26 nyawa.

India yang menyalahkan kumpulan militan berpangkalan di Pakistan bertindak melancarkan serangan udara awal Mei lalu.

Pakistan yang menafikan terlibat dalam serangan Kashmir itu mengutuk serangan tersebut dan berikrar membalas dendam.

Kedua-dua negara kini masih berada dalam tempoh gencatan senjata sejak 10 Mei lalu, sekali gus mengakhiri serangan rentas sempadan yang meragut puluhan nyawa. - Getaran, 6 Jun 2025