India melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Pakistan lewat malam Selasa, menyasarkan sembilan lokasi termasuk kawasan yang didakwa sebagai tempat persembunyian militan di Pakistan dan Jammu serta Kashmir yang dikuasai Pakistan. Operasi yang dinamakan Sindoor itu menurut Kementerian Pertahanan India, bersifat terhad dan tidak bertujuan mencetuskan perang.
Bagaimanapun, tentera Pakistan mendakwa serangan itu mengenai kawasan awam di Kotli, Muzaffarabad dan Bahawalpur, menyebabkan lapan orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun terbunuh dan lebih 30 orang cedera. Mereka menuduh India sengaja mensasarkan bangunan awam, bukan kemudahan militan seperti didakwa.
Pakistan balas serta-merta, dua jet ditembak jatuh
Dalam kenyataan susulan, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengecam tindakan itu sebagai satu bentuk ‘perang terbuka’ dan menegaskan negaranya sedang memberikan respons setimpal. “Pakistan berhak bertindak balas dengan tegas terhadap tindakan perang ini, dan kami sedang melakukannya,” katanya.
Beberapa jam kemudian, Pakistan bertindak balas dengan melancarkan serangan udara dan darat. Media tempatan melaporkan tentera Pakistan berjaya menembak jatuh dua jet pejuang India serta memusnahkan sebuah ibu pejabat briged tentera India di sempadan. Serangan balas itu turut disahkan oleh sumber keselamatan tempatan.
Ketegangan tercetus susulan serangan militan pada April lalu di Pahalgam, Kashmir yang dikuasai India, menyebabkan 26 orang maut. India menuduh Pakistan melindungi kumpulan bersenjata terbabit dan menyifatkan serangan peluru berpandu itu sebagai ‘balasan terhadap serangan keganasan’.
PBB dan AS gesa bertenang, laluan udara mula dialih
Serangan ini turut memberi kesan kepada sektor penerbangan apabila beberapa syarikat penerbangan antarabangsa mengumumkan perubahan laluan bagi mengelak ruang udara Pakistan. PBB dalam satu kenyataan menzahirkan kebimbangan terhadap risiko konflik berskala besar, sambil menyeru kedua-dua negara agar menahan diri daripada tindakan melampau.
Presiden AS, Donald Trump ketika ditanya pemberita berkata beliau baru mendapat tahu mengenai insiden itu. “Mereka sudah lama bergolak. Saya harap semuanya tamat dengan cepat,” katanya. Jabatan Negara AS pula memaklumkan sedang memantau keadaan namun belum memberi sebarang ulasan lanjut.
Sumber: ABC News, The Mirror
The post Pakistan sahkan dua jet India ditembak jatuh selepas serangan peluru berpandu appeared first on The Reporter.




