
KUALA LUMPUR - Mantan Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur 8 pagi tadi.
Berita sedih itu dimaklumkan oleh Naib Presiden parti, Datuk T. Murugiah.
Dilahirkan pada 1 Mac 1949 di Pulau Pinang, mendiang memulakan kerjaya sebagai Pegawai Penyelidik di Muzium Negara melalui Projek Lembah Bujang pada 1973, sebelum menyertai Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sebagai wartawan kanan pada April 1977.
Palanivel kemudian dilantik sebagai editor berita dalam negeri dan ekonomi di agensi tersebut pada 1984, sebelum dipinjamkan sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kerja Raya ketika itu, (mendiang) Tun S. Samy Vellu, dari 1987 hingga 1990.
Mendiang aktif dalam politik menerusi MIC sejak awal 1970-an dan mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum pada 1990.
Beliau memenangi kerusi Parlimen Hulu Selangor dalam Pilihan Raya Umum 1990 dan kekal sebagai wakil rakyat kawasan tersebut selama empat penggal berturut-turut sebelum tewas pada 2008.
Palanivel selepas itu kembali ke Parlimen pada 2013 sebagai Ahli Parlimen Cameron Highlands. – Getaran, 17 Jun 2025


