
PAMB Dan PruBSN Sahkan Kena Godam, Data Ejen Dan Pelanggan Berkemungkinan Berjaya Dicuri
Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB) dan Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) mengesahkan bahawa syarikatnya antara yang terkesan dengan serangan kecurian data.
Syarikat itu menjelaskan bahawa serangan itu merupakan sebuah serangan data global yang dilakukan MOVEit, dimana sistem keselamatan syarikat telah digodam.
Menurut kenyataan syarikat itu, sejurus menyedari aktiviti serangan tersebut, mereka dengan segera telah mengambil tindakan dengan mengasingkan ‘server’ yang terjejas.
Pasukan tindak balas insiden juga dikerahkan bagi menyiasat dan memantau dengan ketat berkaitan dengan serangan terbabit.
Tambah kenyataan itu lagi, terdapat kemungkinan bahawa data peribadi para ejen dan pelanggan telah dicuri.
“Terdapat kemungkinan besar bahawa antara data peribadi para ejen dan pelanggan yang terjejas adalah melibatkan nama, nombor telefon, nombor kad pengenalan dan/atau sebahagian maklumat kad kredit yang mengurangkan risiko transaksi tanpa kebenaran.
“Siasatan masih giat dijalankan. Sebagai makluman, kami sedang berusaha untuk mengesahkan perkara ini secepat mungkin,” kata kenyataan itu.
“Kami sedang mengambil langkah segera untuk memaklumkan perkara ini kepada para pelanggan yang terjejas serta pada masa sama memberikan sokongan sewajarnya.
“Kami juga menyediakan talian hotline khusus dengan masa operasi yang dilanjutkan supaya mudah dihubungi pelanggan.
“Perniagaan kami kekal beroperasi sepenuhnya dan tiada sebarang kesan ke atas operasi pelanggan,” kata kenyataan itu lagi.
Sementara itu, pelanggan disarankan agar sentiasa berhati-hati terhadap sebarang komunikasi yang tidak dijangka melibatkan pautan atau perkara berkaitan kecurian data.
“Elakkan daripada mengklik pada pautan atau memuat turun lampiran daripada emel yang mencurigakan.
“Semak akaun bank dan penyata kad kredit anda secara berterusan untuk mengesan aktiviti yang mencurigakan.
“Jika anda mengesyaki bahawa kad kredit anda terjejas dalam apa jua cara, kami mengesyorkan anda terus menghubungi pihak bank untuk melakukan tindakan selanjutnya,” jelas kenyataan itu.
Sumber: Prudential BSN
The post PAMB Dan PruBSN Sahkan Kena Godam, Data Ejen Dan Pelanggan Berkemungkinan Berjaya Dicuri appeared first on Siakap Keli.
