Pamer Gambar Agong Ketika Kempen PRK, Warga Emas Dipenjara Sebulan

6 May 2024 • 4:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
P. Ramasamy (kiri) juga berdepan hukuman penjara tambahan 10 bulan jika gagal menjelaskan denda dikenakan - gambar Facebook

KUALA LUMPUR - Gara-gara mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketik berkempen, seorang warga emas dipenjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini.

Tertuduh, P. Ramasamy, 66 turut dikenakan denda berjumlah RM3,000.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4A (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana mengembangkan niat jahat.

Berita Harian melaporkan, hukuman tersebut diputuskan Majistret Siti Fatimah Talib selepas meneliti fakta kes, rayuan dan hujah pendakwaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh melakukan mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada sebuah kenderaan, ketika sedang berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, kelmarin.

Siti Fatimah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tambahan selama 10 bulan jika dia gagal membayar denda yang dikenakan.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim dipetik sebagai berkata, dua lelaki berusia 60-an ditahan kelmarin bersama sebuah pacuan empat roda (4WD) kerana mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong pada kempen PRK DUN Kuala Kubu Bharu. 

PRK Kuala Kubu Bharu  diadakan susulan kematian penyandang, Lee Kee Hiong, 58 akibat kanser pada 21 Mac lalu. - Getaran, 6 Mei 2024