SHAH ALAM, 7 OKT: Pameran Karya Agung Sastera Shahnameh Ferdowsi dan tayangan seni dari Tajikistan diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini bermula hari ini hingga 17 Oktober.
Program anjuran Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan kerjasama Institut Pemikiran Islam Lanjutan Antarabangsa (IAIS) dan Kedutaan Tajikistan di Malaysia itu juga sebagai penghormatan kepada penyair serta pemikir terulung Abdul Qosim Ferdowsi yang popular dengan karya Shahnameh.
EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata pameran itu memberi peluang kepada pengunjung mengenali karya agung, sejarah dan budaya negara luar dengan lebih dekat.
“Saya yakin ramai antara kita di Malaysia tidak pernah dengar tentang Tajikistan sebelum ini tetapi terima kasih atas kerjasama ini kita dapat melihat sedikit gambaran keunikan negara ini.
“Malah, karya Ferdowsi juga menjadi tiang di mana tradisi sastera dibina, dipelihara dengan identiti budaya mereka yang bertutur dalam bahasa Parsi,” katanya.
Beliau berucap ketika merasmikan pameran yang turut dihadiri Duta Besar Republik Tajikistan ke Malaysia Ardasher Saeed Jaafar Qodiri serta Pengerusi IAIS Malaysia Dr Maszlee Malik.

Sementara itu, Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad berkata pelbagai pengisian menarik sepanjang pameran antaranya tayangan filem dan maklumat berkaitan budaya Tajikistan.
“Pameran ini juga bagi menyahut saranan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yang cintakan seni, karyawan dan sastera.
“Malah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga banyak melawat ke negara yang tidak ramai orang pergi. Justeru, menerusi pameran ini pengunjung boleh kenal dan tahu lebih mendalam berkaitan Tajikistan,” katanya.
Sepanjang berlangsung, pameran ini menayangkan filem berkisar peperangan dan kekeluargaan bertajuk Rustam and Suhrab dan dua dokumentari berjudul Ferdowsi dan Shahnameh: A Literary Masterpiece.

The post Pameran karya agung Ferdowsi, tayangan seni Tajikistan di Pustaka Raja Tun Uda appeared first on Selangorkini.
