Pameran Koleksi Arca, Lukisan Solo Pertama Gabriel Cheah Di HARTA Kuala Lumpur

Art
9 Jul 2024 • 4:13 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Nama Gabriel Cheah semakin disebut-sebut di persada seni tempatan sejak penampilan pertamanya kurang dua tahun lalu.

Peminat seni arca dan lukisan kini berpeluang untuk melihat sendiri hasil kreatif artis baharu, Gabriel Cheah di pameran COLLAPSE by Gabriel Cheah yang sedang berlangsung di galeri HARTA, Ampang Point. 

Pameran ini menghimpunkan koleksi terbaru Gabriel yang membawa tema 'reborn'.

Menariknya setiap koleksi arca yang dihasilkan turun hadir dalam bentuk lukisan.

image is not available

Nama Gabriel semakin disebut-sebut di persada seni tempatan sejak penampilan pertamanya kurang dua tahun lalu.

Pengumpul seni telah mengumpul karyanya dari Kuala Lumpur ke Shanghai, dan dia telah mengambil bahagian dalam banyak pameran berkumpulan seperti RHB Bank's Art with Heart dan yang terbaru, CIMB Artober Hotel Artfair 2024.

Kini, artis berusia 26 tahun ini akhirnya mempunyai pameran solo yang dibawakan khas oleh Kolmeglu.

Menjengah ke dalam galeri yang menempatkan karya-karya seninya, Gabriel dilihat banyak bermain dengan warna terang seperti merah jambu, kuning, hijau dan biru.

Setiap karyanya juga diserikan dengan percikan kilauan kristal Eropah sekaligus menyuntik elemen mewah terhadap koleksi ini.

        View this post on Instagram                      

A post shared by Gabriel (@gabrielcheahnnnn)

Menurut Gabriel, dia sengaja bermain dengan warna-warna yang terang dan ceria kerana mahu setiap pemilik hasil kreatifnya merasa gembira tatkala melihat koleksi tersebut.

"Warna warna terang dan ceria ini adalah cerminan diri saya. Saya adalah seorang yang ceria. Warna-warna ini boleh saya katakan warna yang tampak mewah. Saya tidak suka menggunakan warna tanah kerana ia kelihatan suram.

"Saya mahu setiap orang yang membeli karya saya, jika mereka mengalami hari yang buruk, sekurang-kurangnya jika mereka melihat karya saya mereka akan rasa rasa lebih baik. Saya mahu berikan energi itu kepada mereka," katanya kepada Getaran.

        View this post on Instagram                      

A post shared by KOLMEGLU (@kolmeglu)

Tambah Gabriel, dia seorang yang sukakan kristal dan sebab itu dia turut meletakkan elemen kristal dalam setiap karyanya.

"Saya suka letak kristal di baju saya sendiri. Ketika saya sedang melukis saya terfikir kenapa saya tidak meletakkan kristal pada karya seni saya.

"Bila saya letak kristal saya lihat karya itu menjadi lebih cantik dan mewah. Lagipun di Malaysia tak ada lagi artis yang meletakkan kristal pada karya mereka," ujarnya.

image is not available
Gabriel Cheah turut meletakkan elemen kristal dalam setiap karyanya.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam dunia seni arca, kata graduan jurusan seni reka grafik ini, semuanya berlaku selepas dia dicadangkan oleh seorang teman.

"Teman saya ingin lakukan kolaborasi dengan saya pada ketika itu kerana saya merupakan pereka grafik. Dia berikan dua arca untuk saya corakkan.

"Tak sangka pula ada orang yang berminat nak beli karya tersebut dengan harga RM5,000 setiap satu. Dari situlah bermulanya titik tolak saya dalam pembabitan seni arca dan lukisan ini," kongsinya.

Bagi anda yang ingin melihat sendiri dan membeli karya-karya hasil tangan Gabriel, boleh kunjungi galeri pameran yang terletak di HARTA Space Ampang Jaya Kuala Lumpur yang akan berlangsung sehingga 27 Julai ini. - Getaran, 9 Julai 2024

Foto : Helmi Anuar

View Original Article