Pameran LAVAA 15: Raikan 15 Tahun Penubuhan LAVAA Dalam Menyemarakkan Landskap Seni Langkawi

14 Jul 2025 • 10:20 AM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Pameran LAVAA 15: Raikan 15 Tahun Penubuhan LAVAA Dalam Menyemarakkan Landskap Seni Langkawi

5 JULAI 2025 – Persatuan Seni Visual Langkawi atau lebih dikenali sebagai Langkawi Visual Art Association (LAVAA) dan Balai Seni Negara Langkawi hari ini merasmikan Pameran LAVAA 15, yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-15 penubuhan LAVAA. Pameran ini berlangsung dari 1 hingga 31 Julai 2025 di Galeri Aras 1, Balai Seni Negara Langkawi.

Majlis perasmian disempurnakan oleh YBrs. Tuan Muhamad Subhi Abdullah, Pegawai Daerah Langkawi, Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi. Turut hadir ialah YBrs. Puan Rohana Mohd Yusof, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Balai Seni Negara, YBrs. Encik Sukardi Hashim selaku Yang Dipertua LAVAA, pegawai-pegawai Balai Seni Negara, wakil-wakil jabatan dan agensi kerajaan serta para penggiat seni.

image is not available

Pameran LAVAA 15 bermatlamat untuk memperkasa ahli LAVAA menerusi pendedahan karya berkualiti, di samping merancakkan ekonomi seni tempatan dan memperkukuh jaringan komuniti seni. Ia turut mendorong kerjasama strategik dengan agensi kerajaan dan badan kesenian, termasuk sokongan daripada Kedah Tourism dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), serta penggiat industri tempatan seperti Lim Optometry dan Che Pa Village Langkawi.

Pameran ini melibatkan penyertaan seramai 23 orang artis, antaranya Ahmad Rosli Azimad, Arjan Che Rus, Khairudin Abdul Hamid, Lim It Leang, Mohamad Hanafiah Ibrahim, Mohamad Jazli Safwan Ali, Muhammad Hakiki Syahrudin, Muhammad Izzat Md Isa, Shureeza Faris Abdul Shukor, Nursyahmir Nazreen Setapa, Rashid Ramli dan Rominoe Jamiran.

image is not available

Turut serta ialah Nazri Abdullah, Subri Ismail, Sukardi Hashim, Syahril Azwan Salleh, Syahrudin Ishak, Mohammad Radzi Ismail, Aznah Abu, Nor Harliza Ariffin, Nurul Ashyqin Ruhaizat, Rahimah Ali Mohamed Ali dan Zuraidah Zainal Abidin.

Sebanyak 23 karya dipamerkan, merangkumi pelbagai medium seperti lukisan, catan, arca, cetakan, fotografi dan batik yang memperlihatkan kepelbagaian idea, ekspresi serta gaya persembahan setiap artis.

image is not available

LAVAA ditubuhkan pada 23 Disember 2009 dan kini dianggotai oleh 50 orang ahli yang terdiri daripada pelbagai latar belakang serta kepakaran dalam bidang seni visual. Setelah 15 tahun bergerak aktif sebagai wadah penggiat seni di Langkawi, LAVAA giat merangka dan melaksanakan program serta aktiviti seni visual secara berterusan sebagai strategi untuk memperkukuh landskap seni tempatan.

Dalam pada itu, Balai Seni Negara terus komited menjalin hubungan erat dengan komuniti seni tempatan serta bersedia meneroka peluang kolaborasi yang dapat memperluas capaian dan impak seni visual ke peringkat lebih tinggi. Penganjuran Pameran LAVAA 15 turut dilihat sebagai satu usaha yang menyokong aspirasi untuk menjadikan Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan seni, selain memperkenalkan, membudayakan dan memelihara khazanah seni warisan bersama masyarakat setempat.

image is not available

Justeru, orang ramai dijemput mengunjungi pameran ini yang dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang di Galeri Aras 1, Balai Seni Negara Langkawi. Kemasukan adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, sila ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara dan Balai Seni Negara Langkawi atau layari www.artgallery.gov.my.