Pameran Seni Kontemporari Telur Pecah 2.022 Tampilkan 300 Karya Seni, 128 Karyawan Bebas Malaysia 

Art
15 Oct 2022 • 7:00 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar ihsan GMBB

Pameran seni kontemporari Telur Pecah yang pernah dianjurkan pada tahun lalu bukan sahaja telah berjaya merapatkan jurang masyarakat umum Malaysia dengan seni, tetapi menyediakan juga peluang dan platform untuk menggabungkan karya-karya seni Malaysia.

Kini, Telur Pecah kini kembali lagi – kini lebih besar dan lebih menarik! Menerusi edisi kedua, Telur Pecah 2.022 akan menampilkan lebih 300 karya seni daripada 128 karyawan bebas Malaysia yang amatur dan terkenal, disusun mengikut 10 kategori.

Telur Pecah 2.022 akan diadakan di Kesana-Kesini, ruang kongsi GMBB yang terletak di tingkat 3A dan dibuka kepada orang ramai bermula 12 Oktober hingga 13 November, dari jam 11 pagi hingga 8 malam. Kemasukan adalah percuma dan orang ramai dialu-alukan untuk membeli mana-mana karya seni yang dipamerkan.

Menyedari kepentingan seni dan budaya dalam menggalakkan penyertaan dan meraikan kepelbagaian, GMBB percaya dalam melakukan #MoreTogether untuk, dan bersama-sama, komuniti seni kreatif Malaysia. 

image is not available
Lim Ying Xian (depan) - Gambar ihsan GMBB

Kurator GMBB, Lim Ying Xian berkata, salah satu matlamat diharapkan dapat dicapai GMBB dan apa yang membezakan GMBB adalah untuk orang ramai melihat bahawa seni ada pada segala-galanya di sekeliling mereka. 

“Seni wujud dalam kisah kita, sejarah kita, kata-kata kita, daripada seni jalanan kepada seni halus, malah seni di sebalik pakaian yang kita pakai, seni ada pada segala-galanya di sekitar kita. 

“Kami berharap dengan menganjurkan pameran seperti ini dapat mewujudkan lebih banyak permintaan untuk produk seni dan budaya tempatan di samping menyediakan platform untuk lebih ramai artis, karyawan dan kreatif untuk mempamerkan bakat dan kepelbagaian mereka kepada orang ramai,” katanya. 

Menurut Lim lagi, Telur Pecah merupakan salah satu inisiatif dalam melakukan #MoreTogether untuk komuniti karyawan di Malaysia.

“Ia merupakan salah satu usaha utama GMBB dalam bidang seni halus, memanfaatkan kepelbagaian dan kebolehcapaian ruang yang dimiliki oleh pusat beli-belah GMBB. 

“Sebagai penganjur Telur Pecah pada tahun 2021, GMBB kembali sekali lagi pada tahun ini dengan pemahaman yang lebih baik tentang keperluan dan cabaran yang dihadapi dalam menganjurkan pameran seni kontemporari.”

image is not available
Phillip Wong

Telur Pecah 2.022 disusun kurator Phillip Wong, bekas ahli Lembaga Pembangunan Visual Negara dan penyokong aktif gerakan seni belia selama lebih tiga dekad. Pameran seni kontemporari ini dibina berdasarkan konsep bebas, pada saat ini, inspirasi dan keaslian Malaysia. 

Dalam era pasca-pandemik ini, Phillip merasakan adanya keperluan untuk mewujudkan platform di mana rakyat Malaysia dapat berkumpul bersama-sama pada ketika ini untuk menyokong seni dan karyawan Malaysia. 

“Adalah visi saya untuk mewujudkan Telur Pecah sebagai platform di mana semua karyawan di Malaysia tanpa mengira latar belakang mempamerkan karya seni mereka,” kata Phillip. 

image is not available
Gambar ihsan GMBB

Mengelak dari asyik melakukan perkara yang sama, Phillip berharap rujukan tajuk Telur Pecah itu yang menggambarkan - memecahkan kuning telur sambil menggoreng telur - akan membantu #meanMore dalam memecahkan tradisi konvensyen artistik yang menyekat penghargaan masyarakat umum Malaysia terhadap seni.

Telur Pecah 2.022 menampilkan 10 kategori umum berdasarkan profil setiap karyawan. Pengkategorian ini adalah pilihan oleh Phillip bagi membiarkan setiap karya seni berbicara dengan sendiri, menghasilkan satu pengalaman yang berwarna-warni dan mengujakan yang akan memberikan lebih makna (#meanMore). 

Dengan barisan karyawan-karyawan kreatif seperti MUSE, INSIDE OUT, GENERATION, GIFTED dan FUTURE, kategori Telur Pecah 2.022 mencerminkan keterangkuman yang menonjolkan kepelbagaian dan keunikan setiap karyawan di Malaysia. 

image is not available

GIFTED menampilkan bakat dari kanak-kanak dengan keperluan khas tanpa mengira kekurangan atau keadaan manakala INDIGENOUS mempersembahkan hasil seni dari karyawan Orang Asli di mana akar umbi keturunan mereka merupakan komponen utama dalam melakukan karya mereka. 

Sementara itu, INSIDE OUT menawarkan peluang yang jarang berlaku untuk artis grafiti mengecat bahagian dalam bangunan dan bukannya di luar, mempromosikan penyertaan walaupun dari kategori yang dahulunya cukup kontroversi seperti grafiti.

image is not available
Gambar ihsan GMBB

Pameran seni ini dijayakan dengan sokongan pelbagai organisasi seperti Institut Seni Malaysia (MIA), Universiti Teknologi MARA, Aswara Malaysia, Universiti UCSI, Angkatan Pelukis SeMalaysia, Persatuan Seni Rupa Malaysia (PeRUPA), WOW 1.0 dari Kota Kinabalu, HAUS dari Kuching serta penyewa tetap GMBB GERIMIS dan OLFAC3 Perfumes yang akan mengharumkan sudut-sudut tertentu di pameran ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai GMBB dan Telur Pecah 2.022 serta  perkembangan terkini, sila ikuti kami di akaun Facebook di www.facebook.com/gmbbkl/ atau Instagram di www.instagram.com/gmbb.kl/. – Getaran, 15 Oktober 2022 

image is not available
Gambar ihsan GMBB