SHAH ALAM, 10 SEPT: Pameran Udara Selangor (SAS) 2024 menyediakan perkhidmatan bas ulang-alik dan tempat letak kenderaan percuma kepada pengunjung sepanjang acara berlangsung bermula Khamis hingga Sabtu ini.
Invest Selangor Berhad memaklumkan berlangsung dari 10 pagi hingga 6 petang, SAS 2024 dibuka kepada pengunjung awam pada Jumaat bermula 1 tengah hari dan akses penuh tersedia sepanjang Sabtu bermula 10 pagi.
Katanya, pelawat yang tiba dengan kenderaan persendirian digalak parkir di kawasan Stadium Shah Alam berhadapan City Karting (Shah Alam International Go Kart Circuit) kerana tiada kemudahan parkir di lokasi acara iaitu Pusat Penerbangan Serantau (RAC) Skypark, Bukit Jelutong.
“Setelah meletak kenderaan, pengunjung harus ke kawasan zon menunggu ditetapkan dan perkhidmatan bas ulang-alik membawa pengunjung dari Stadium Shah Alam ke pondok pengawal RAC Skypark.
“Bas ulang-alik beroperasi setiap 15 minit bermula 8 pagi dengan bas terakhir kembali ke Stadium Shah Alam jam 7.30 malam.
“Untuk memastikan pengalaman yang lancar pengunjung dinasihat merancang perjalanan ke lokasi lebih awal kerana tempat letak kenderaan tidak tersedia di lokasi acara,” katanya.

Katanya selain bas ulang-alik pengunjung juga boleh menggunakan perkhidmatan e-hailing, MyCar yang menawarkan diskaun khas RM2 untuk perjalanan ke dan dari Stadium Shah Alam.
“Setibanya di kawasan acara, pengunjung perlu ke bahagian pendaftaran B untuk mengimbas kod QR yang diterima menerusi emel pengesahan, mengambil gelang tangan kemasukan dan menjalani pemeriksaan keselamatan standard.
“Semua beg dan barangan peribadi akan diperiksa dan barang seperti senjata dan bahan berbahaya dilarang sama sekali.
“Untuk keluarga dengan anak berumur lima tahun dan ke bawah, ibu bapa atau penjaga sah perlu menandatangani borang pengecualian semasa pendaftaran dalam talian,” katanya.
Semua pengunjung digalakkan berpakaian sesuai serta kasut bertutup disyorkan untuk keselamatan selain membawa dokumen pengenalan diri.
“Pengunjung juga mesti mematuhi peraturan keselamatan dan tertakluk kepada pemeriksaan oleh kakitangan keselamatan penerbangan ketika memasuki kawasan selamat acara,” katanya.
SAS 2024 menjanjikan tontonan yang menarik dan menampilkan penyertaan dari lebih 35 negara selain mempamerkan 49 pesawat statik pelbagai jenis.

The post Pameran Udara Selangor 2024 sedia khidmat bas ulang-alik, parkir percuma appeared first on Selangorkini.



