
ISKANDAR PUTERI – Dua bekas banduan bukan sahaja tidak serik selepas beberapa kali keluar masuk penjara, malah sanggup mencuri barangan dalam bungkusan termasuk lampin pakai buang (pampers) dalam kegiatan jenayah mereka di daerah ini.
Lebih mengejutkan, seorang daripada suspek yang berusia 26 tahun dipercayai menjadi dalang kumpulan berkenaan mempunyai 11 rekod jenayah lampau, manakala rakannya yang berusia 27 tahun mempunyai rekod lebih banyak iaitu 31 kesalahan jenayah.
Kedua-dua suspek ditahan dalam Op Pintu Durai yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada 5 September lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri berkata, Superintendan Saifullah Jaya berkata, hasil tangkapan itu pihaknya berjaya menyelesaikan sebanyak 11 kes membabitkan pecah rumah, samun stor peralatan kabel dan kecurian bungkusan (parcel).
Menurutnya, kedua-dua suspek yang berasal dari utara tanah air itu tiba di Iskandar Puteri pada Januari lalu untuk bekerja di kawasan kilang, namun diberhentikan pada Mac sebelum dipercayai mula melakukan jenayah pada April lalu.
“Modus operandi mereka adalah bergerak secara solo atau berdua, terutama antara pukul 3 hingga 6 pagi dengan menyasarkan rumah tidak berpenghuni serta kawasan kilang yang agak terpencil.
“Mereka turut menyasarkan parcel yang ditinggalkan di hadapan rumah sebelum membawanya pulang untuk dibuka. Barangan yang berguna digunakan sendiri, manakala selebihnya disimpan untuk dijual,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Saifullah berkata, dalam satu kejadian samun di tapak pembinaan pusat data, kedua-dua suspek dipercayai menyamar sebagai pengawal keselamatan sebelum mengikat seorang pengawal keselamatan warga asing yang bertugas di lokasi berkenaan.
Suspek kemudian melarikan kabel tembaga dengan nilai kerugian dianggarkan kira-kira RM50,000.
“Kes kecurian tembaga itu merupakan kes keenam dilakukan mereka, manakala keseluruhan kerugian akibat kegiatan kumpulan ini dianggarkan RM75,000.
“Pusat data berkenaan masih dalam proses pembinaan ketika kejadian,”katanya.
Siasatan mendapati kedua-dua suspek pernah melakukan jenayah sama ketika berada di utara dan pernah menjalani hukuman penjara sekitar 2020 serta 2023.
Kedua-duanya dibebaskan dari Penjara Pokok Sena, Kedah pada awal 2023 sebelum kembali melakukan kegiatan jenayah selepas berada di Iskandar Puteri.
Kedua-dua suspek positif dadah dan kini masih ditahan selepas Mahkamah melanjutkan tempoh reman sehingga 18 September ini dan bakal dituduh di mahkamah pada 17 September.-KOSMO! ONLINE
The post Pampers pun nak rembat, bekas banduan ditahan curi parcel, kabel appeared first on Kosmo Online.
