Pan Mee, pau laris terjual dalam setengah jam 'live' Khairul Aming, Pinn Yang

LocalEntertainment
9 Sep 2024 • 9:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Khairul Aming bersama Pinn Yang ketika bersiaran langsung di TikTok.

SHAH ALAM - Dalam masa setengah jam siaran langsung Khairul Aming bersama Pinn Yang di TikTok, sebanyak 300 paket Pan Mee dan 500 bungkus pau terjual dengan kunjungan lebih 15,000 penonton atas talian.

Siaran langsung itu menggandingkan dua pempengaruh terkenal buat pertama kalinya untuk sama-sama membantu menjual produk produk keluaran lokal tempatan dengan jumlah keseluruhan seramai 10 juta orang pengikut.

Terdapat 10 barangan lokal yang dipilih untuk diniagakan dalam siaran berkenaan bersempena dengan kempen 'Jom Lokal' di TikTok Shop dan tarikh istimewa 9 September 2024.

Menerusi video tersebut, penonton siaran langsung turut menikmati baucar penghantaran percuma untuk barangan yang dijual pada ketika itu serta diskaun 20 peratus.

Bukan itu sahaja, mereka juga akan memilih beberapa individu untuk memenangi sesi 'meet and greet' dan makan tengah hari bersama Khairul Aming serta Pinn Yang.

Ruangan komen video berkenaan menunjukkan banyak reaksi positif diberikan oleh orang ramai selepas melihat bagaimana Khairul Aming dan Pinn Yang memanfaatkan platform mereka untuk membantu rakyat Malaysia.

Sesetengah warganet menganggap idea mereka itu lain daripada lain dan ia secara tidak langsung telah menjadi inspirasi buat anak-anak muda di luar sana.

Ada juga yang berpendapat Khairul Aming sesuai untuk memegang jawatan Perdana Menteri dalam tempoh 20 tahun akan datang.