Panah Anjing Hingga Mati, Suspek Giat Diburu

26 Sep 2022 • 9:32 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Polis sedang memburu seorang lelaki yang memanah seekor anjing hingga mati di Sky Awani 3, Setapak di sini, baru-baru ini. - Gambar ihsan polis

KUALA LUMPUR - Polis giat mengesan lelaki yang bertindak tidak berperikemanusiaan apabila memanah seekor anjing sehingga mati dalam kejadian di Sky Awani 3, Setapak di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, ia susulan laporan polis dibuat seorang individu pagi semalam yang terkesan dengan satu video tular di media sosial memaparkan tindakan kejam lelaki itu.

“Melalui video berkenaan, didapati seorang suspek yang memakai baju warna hitam, mengambil busur dan anak panah sambil mengekori seekor anjing serta memanah haiwan itu sehingga mati,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook malam tadi.

image is not available
Seekor anjing mati selepas dipanah oleh seorang lelaki Sky Awani 3, Setapak, baru-baru ini.

Menurut beliau, satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 29(1)(e), Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772).

“(Jika sabit kesalahan) yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak kurang daripada RM20,000 atau kedua-duanya, selain Seksyen 6 (1) Akta Kakisan dan Bahan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun.

“Pihak polis masih meneruskan siasatan dalam usaha mengesan suspek,” katanya.

Pada masa sama, Ashari memohon kerjasama mana-mana saksi awam yang melihat kejadian itu agar tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat dalam kejadian ini, boleh menyalurkannya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau IPD Wangsa Maju (019-2899110). – Getaran, 26 September 2022