‘Panas’ isu tempat duduk, penganjur konsert Awie mohon maaf

LocalEntertainment
15 Sep 2026 • 12:02 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Panas’ isu tempat duduk, penganjur konsert Awie mohon maaf

PETALING JAYA – Isu tempat duduk dan janji ‘manis’ tiket mahal konsert Awie Rock King – Last Man Standing 2026 menjadi keluhan sebilangan penonton, Bombbay Legend Worldwide selaku penganjur tampil memohon maaf atas kesulitan yang berlaku pada malam persembahan di Stadium Merdeka, Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan media, Bombbay Legend Worldwide berkata, pihaknya memandang serius isu dibangkitkan pemegang tiket yang terjejas apabila terpaksa berdepan pengalaman kurang menyenangkan.

“Bombbay Legend Worldwide mengambil maklum dan memandang serius isu dibangkitkan pemegang tiket berhubung pengurusan tempat duduk dan pengalaman pengunjung pada konsert berkenaan.

“Sehubungan itu, pihak penganjur dengan rendah hati memohon maaf kepada pemegang tiket yang terkesan atas segala kesulitan, kekeliruan dan ketidakselesaan yang berlaku,” katanya.

Menurut penganjur, isu berkenaan khususnya membabitkan pemegang tiket kategori CAT 5, CAT 9 dan CAT 10 berlaku selepas pelaksanaan di lokasi tidak berjalan seperti yang dirancang.

“Susunan asal adalah berdasarkan tempat duduk bernombor seperti yang ditetapkan. Kami turut melantik satu pasukan khusus untuk membantu serta memberi panduan kepada pemegang tiket ke tempat duduk masing-masing.

“Namun begitu, pelaksanaan di lokasi tidak berjalan seperti dirancang, sekali gus menyebabkan kekeliruan serta kesulitan kepada sebahagian pemegang tiket,” ujarnya.

Dalam masa sama, Bombbay berkata terdapat sebahagian pemegang tiket yang mengambil tempat duduk tidak sepatutnya susulan kekeliruan berkenaan sehingga mengakibatkan keadaan menjadi lebih sukar untuk dikendalikan.

Begitupun, pihaknya menegaskan tetap mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara tersebut dengan tidak meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak lain.

“Walau apa pun puncanya, kami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap perkara ini dan tidak meletakkan kesalahan kepada pihak lain memandangkan pasukan yang dilantik bagi menguruskan perkara tersebut adalah di bawah pengelolaan kami.

“Kami sekali lagi memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku berkaitan pengurusan tempat duduk bagi CAT 5, CAT 9 dan CAT 10,” katanya.

Selain isu tempat duduk, Bombbay turut memohon maaf kepada pemegang tiket CAT 9 dan CAT 10 yang tidak menerima manfaat atau pakej ‘goodie bag’ seperti dijanjikan.

Menurut penganjur, pakej berkenaan tidak dapat diserahkan pada malam konsert berikutan kekeliruan yang berlaku berkaitan pengurusan tempat duduk.

“Sebagai penyelesaian, pihak kami akan menghubungi pembeli tiket CAT 9 dan CAT 10 melalui e-mel dalam masa terdekat bagi tujuan penghantaran pakej tersebut.

“Kerjasama pembeli tiket amat dihargai untuk memberikan alamat penghantaran yang lengkap bagi memastikan pakej tersebut dapat dihantar terus kepada penerima,” katanya.

Bombbay turut menegaskan meskipun persembahan Datuk Awie dan produksi konsert dilaksanakan mengikut spesifikasi serta perancangan ditetapkan, pihaknya menyedari pengalaman pengunjung bukan hanya bergantung kepada persembahan di atas pentas.

“Aspek pengurusan, keselamatan, keselesaan, kelancaran perjalanan acara serta pengalaman keseluruhan pengunjung juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab penting penganjur.

“Segala maklum balas serta perkara dibangkitkan pemegang tiket tetap diambil serius sebagai bahan penilaian dan penambahbaikan untuk penganjuran akan datang,” ulasnya.

Penganjur turut mengakui situasi sedemikian tidak pernah berlaku dalam pelbagai konsert anjuran Bombbay Legend Worldwide sebelum ini selain kesal perkara itu berlaku pada Konsert Awie Rock King – Last Man Standing.

Terdahulu, syarikat jualan tiket, iLasso Tickets Sdn Bhd tampil menjelaskan pihaknya hanya dilantik sebagai rakan pengurusan tiket oleh penganjur, manakala skop tanggungjawab mereka hanya merangkumi penerbitan, penyenaraian dan penjualan tiket menerusi platform

Menurut syarikat terbabit, pengurusan tempat duduk, operasi acara serta penyampaian pakej tiket adalah di bawah tanggungjawab Bombbay Legend Worldwide. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Panas’ isu tempat duduk, penganjur konsert Awie mohon maaf appeared first on Kosmo Online.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved